EKONOMI > BERITA

MY-UAE CEPA DIJANGKA DAPAT TINGKAT PERDAGANGAN DUA HALA SEBANYAK 60 PERATUS - TENGKU ZAFRUL

14/01/2025 08:50 PM

 

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) dijangka dapat meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih mampan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata CEPA juga dijangka membuka laluan untuk kerjasama ekonomi komprehensif yang kukuh melalui fasilitasi laluan perdagangan, serta perluasan akses pasaran antara Malaysia dan UAE. 

Beliau berkata, UAE merupakan salah satu hab perdagangan utama untuk pasaran Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

"Kejayaan Malaysia dan UAE memeterai Perjanjian MY-UAE CEPA di Abu Dhabi pada 14 Januari 2025 merupakan satu kejayaan besar kepada kedua-dua negara, di mana rundingan ini merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama antara Malaysia dengan sebuah negara Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan. 

Tengku Zafrul berkata beliau juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Negara bagi Perdagangan Luar, Kementerian Ekonomi UAE, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi untuk membincangkan pelbagai isu termasuk pelaksanaan CEPA serta potensi perdagangan dan pelaburan dalam bidang berkepentingan bersama. 

Turut dibincangkan adalah jangkaan hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)+China yang bakal diadakan pada Mei 2025, bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

“Rundingan CEPA yang hanya mengambil selama 11 bulan mencerminkan komitmen Malaysia dan UAE untuk mengeratkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi demi manfaat bersama. 

"Pemeteraian CEPA dijangka bakal meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang dinamik, membuka peluang baharu untuk perniagaan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, selain menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk untuk perniagaan UAE ke pasaran ASEAN," katanya. 

Sementara itu MITI berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga telah mengaturkan sesi pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan syarikat dana kekayaan berdaulat dari Abu Dhabi, iaitu Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Mubadala Investment Company serta syarikat tenaga boleh baharu utama UAE, MASDAR.

Menurutnya, antara sektor yang berpotensi untuk kerjasama lebih kukuh dengan syarikat dana kekayaan berdaulat tersebut termasuklah tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor.

MITI berkata Malaysia juga menyambut baik hasrat ADIA untuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha transformasi Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB). 

“Malaysia dan UAE telah menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pelaburan Projek Pusat Data. 

“Kerjasama dalam sektor ini mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan memanfaatkan kepakaran serta modal yang ditawarkan oleh UAE,” katanya.

Pada 2023, UAE merupakan rakan dagang Malaysia yang kedua terbesar di rantau Asia Barat, selepas Arab Saudi. 

UAE juga merupakan negara kedua terbesar bagi destinasi eksport negara selepas Turkiye dan kedua terbesar bagi sumber import negara selepas Arab Saudi dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Barat. 

Dalam tempoh sebelas bulan pertama 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE berjumlah RM39.53 bilion, peningkatan 8.6 peratus tahun-ke-tahun. 

Hubungan ini mencerminkan kepentingan strategik UAE sebagai rakan ekonomi utama Malaysia di rantau tersebut.

MITI berkata, dari aspek pelaburan asing, UAE merupakan antara negara pelabur tertinggi dalam kalangan negara-negara anggota GCC di Malaysia. 

Sehingga September 2024, sebanyak 35 projek pembuatan oleh pelabur dari UAE bernilai RM1.51 bilion, telah dilaksanakan.

Pelaburan ini berjaya mewujudkan sebanyak 2,187 peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sektor pembuatan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan