EKONOMI > BERITA

PM ANWAR PERCAYA ISU PETRONAS, PETROS SUDAH SELESAI

14/01/2025 10:27 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.

“Tetapi kita (Kerajaan Persekutuan) terima juga kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” kata beliau kepada kalangan wartawan Malaysia pada sidang media di akhir lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini, pada Selasa.

Beliau tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari ke UAE, antara lain bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini serta meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-duanya.

Ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Dalam pada itu, Anwar juga berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, wujud suara-suara yang menyatakan kebimbangan mengenai hubungan Petronas dan Petros, serta ada beberapa siri perbincangan melibatkan Peguam Negara yang turut melibatkan Petros dan Petronas.

Anwar berkata pada Januari 2025, beliau telah bertemu Premier Sarawak dan mereka telah menyelesaikan isu pengagihan gas di Sarawak.

“PDA 1974 terus akan diterima sebagai rangka kerja komprehensif bagi tadbir urus industri minyak dan gas di Malaysia. Keputusan kita, semua perjanjian yang telah termeterai tidak diganggu dan jika diganggu akan mempersulit hubungan dengan syarikat besar antarabangsa...ini telah diterima,” kata beliau.

Anwar berkata walaupun telah diberikan kepada Petros untuk menjadi agregator gas dari segi kuasa perundangan namun Petros turut memperakui tidak akan mengganggu perjalanan sedia ada Petronas.

“Ini sama seperti Petronas yang ada kuasa di seluruh negara tetapi beri laluan, pengecualian kepada Sarawak dalam bidang pengagihan gas untuk keperluan dalam negeri. Inilah bidang kerjasamanya.

“Ada perbincangan (mengenai) inisiatif baharu yang diambil Premier Abang Johari. Sama seperti Petronas lakukan tidak pernah ada sikap kecualikan mana-mana. Petronas (untuk projek) di Sarawak akan libatkan Petros, dan Petros kalau terlibat usaha cari gali dan usaha lain termasuk hidrogen, kalau di wilayah Malaysia, akan libatkan Petronas,” kata beliau.

Anwar berkata beliau tidak fikir ada masalah lain dalam keputusan itu kerana rundingan bagi projek lain adalah rundingan komersial.

“Dasar kita terima, hormati hak Petronas dan hak Petros dalam beberapa hal di Sarawak,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata tidak seharusnya ada kebimbangan untuk memberi ruang kepada Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak kerana sebarang projek berkaitan termasuk yang membabitkan pembiayaan syarikat besar pasti melibatkan Petronas di Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan