EKONOMI > BERITA

MESYUARAT TAHUNAN WEF 2025 SERU KERJASAMA BENTUK ERA KECERDASAN

15/01/2025 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland menjangka memberi tumpuan untuk memupuk semangat kerjasama dan keyakinan yang membina dengan matlamat membentuk Era Kecerdasan yang lebih mampan dan inklusif.

Pengasas dan Pengerusi Lembaga Amanah WEF Klaus Schwab percaya Davos membentangkan peluang yang unik itu apabila menghimpunkan hampir 3,000 pembuat keputusan daripada kerajaan, kalangan perniagaan, dan masyarakat awal tahun ini bagi menangani cabaran oleh dunia yang berubah-ubah.

Menurut kenyataan WEF, mesyuarat tahunan ke-55 itu akan membincangkan langkah untuk meningkatkan semula pertumbuhan, memanfaatkan teknologi baharu serta mengukuhkan daya tahan sosial dan ekonomi ketika ekonomi global mengalami anjakan paradigma.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WEF Borge Brende berkata mesyuarat tahunan itu diadakan pada ketika dunia berhadapan ketidaktentuan yang tinggi yang berlaku dalam satu generasi yang didorong oleh ketegangan geopolitik, pemecahan ekonomi dan perubahan iklim yang pantas.

"Dalam persekitaran iklim yang tidak menentu ini, satu-satunya cara untuk menangani cabaran yang mendesak dan meneroka peluang baharu adalah menerusi pendekatan yang inovatif dan jalinan kerjasama," katanya.

Dijangka lebih 350 pemimpin kerajaan akan menyertai WEF tahun ini, termasuk 60 ketua negara dan kerajaan bagi menangani cabaran mendesak serta meneroka peluang pertumbuhan yang pesat.  

Antara pemimpin politik tertinggi yang mengambil bahagian termasuk Presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, yang akan menyertai melalui pautan video langsung untuk dialog interaktif; Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen; Canselor Jerman, Olaf Scholz serta Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat Tahunan WEF 2025 akan berlangsung di Davos-Klosters dari 20 hingga 24 Jan, 2025, bertemakan ‘Kerjasama untuk Era Kecerdasan’.

Ia dijangka memupuk kerjasama dan pandangan baharu untuk membentuk masa depan yang lebih mampan dan inklusif dalam era teknologi yang pesat membangun, memfokuskan pada lima bidang utama -- Membina Semula Pertumbuhan, Industri dalam Era Kecerdasan, Pelaburan Insan, Melindungi Planet dan Membina Semula Amanah.

Mesyuarat Tahunan 2025 itu akan terus menyalurkan maklumat dan boleh diakses oleh orang ramai melalui penstriman langsung dalam lebih 220 sesi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan