EKONOMI > BERITA

FAJARBARU JANGKA GDV RM2 BILION UNTUK FASA SATU MEDI-CITY PULAU PINANG

20/01/2025 08:33 PM

GEORGE TOWN, 20 Jan (Bernama) -- Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) menjangkakan projek fasa satu Medi-City di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang akan datang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutifnya Datuk Seri Eric Kuan berkata 30 peratus pembangunan dalam fasa satu akan terdiri daripada komponen-komponen perubatan.

“Ini termasuklah hospital pakar dengan 200 katil, pusat kesejahteraan dan kompleks penjagaan kesihatan.

“Dalam fasa satu, pembangunan itu turut merangkumi pembinaan FBG Global Park yang berfungsi sebagai kawasan komersial, sekolah antarabangsa dan kawasan kediaman iaitu pangsapuri perkhidmatan dan vila,” katanya selepas sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Datuk Aziz Bakar berkata pihaknya menjangkakan fasa pertama Medi-City akan dibangunkan sepenuhnya dalam masa kira-kira lima hingga lapan tahun, manakala untuk menyiapkan keseluruhan projek mengambil masa 15 tahun.

“Ini merupakan projek jangka panjang. Ia akan menjadi projek pemangkin untuk Batu Kawan kerana kami menjangkakan hospital dengan 1,000 katil bagi keseluruhan kawasan projek pembangunan seluas 95.42 hektar,” katanya.

Aziz berkata projek ini juga akan menjadi pusat sehenti untuk kemudahan perubatan di Pulau Pinang dan Wilayah Utara.

"Kami sedang memikirkan untuk memberi perkhidmatan kepada negara ASEAN yang lain dan itulah visi kami untuk projek ini," katanya.

Terdahulu, FBG dan PDC menandatangani perjanjian pembelian dan pembangunan induk untuk fasa pertama projek Penang Medi-City.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan