KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Industri automotif Malaysia mencatatkan rekod jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 816,747 unit pada 2024, melepasi angka 800,000 unit buat pertama kalinya.
Disember 2024 pula mencatatkan TIV bulanan tertinggi pernah dicatatkan dengan 81,735 unit terjual.
TIV 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus berbanding 799,821 unit pada 2023.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain mengaitkan pencapaian cemerlang itu dengan prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.
"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus dalam tiga suku pertama 2024 berbanding 3.8 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023, bersama-sama dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada tiga peratus sejak Mei 2023 telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pinjaman kenderaan.
"Selain itu, persekitaran sosio-politik yang stabil dan kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.1 peratus merupakan yang terendah dalam tempoh sedekad mempertingkatkan keyakinan pengguna dan daya beli," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara MAA dengan Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di sini hari ini.
Kata Mohd Shamsor, pesanan tertunggak yang tinggi terutamanya dalam segmen A menyumbang kepada peningkatan bahagian pasaran Jenama Nasional yang mencatatkan 62 peratus daripada jumlah TIV pada 2024.
"Lonjakan dalam jualan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) yang meningkat sebanyak 45 peratus pada 2024 disebabkan insentif cukai dan pengenalan model-model baharu terutamanya dari China, turut memainkan peranan penting.
"Kempen jualan dan promosi yang agresif oleh pengeluar peralatan asal (OEM) dan pengedar serta pelancaran model yang menampilkan teknologi canggih, memberi respons positif di pasaran," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata pasaran automotif dan ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2025.
"Pertumbuhan KDNK dijangka berada dalam julat antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus manakala Bank Negara Malaysia berkemungkinan mengekalkan OPR pada tiga peratus yang menyokong permintaan kenderaan yang berterusan.
"Penambahan gaji minimum kepada RM1,700 pada Februari 2025 dan semakan gaji sebanyak 15 peratus untuk penjawat awam dijangka mempertingkatkan pembelian kenderaan," katanya.
Beliau berkata pasaran buruh yang stabil dengan kadar pengangguran rendah pada 3.2 peratus akan memastikan jaminan pendapatan manakala jangkaan tamatnya tempoh pengecualian cukai BEV pada penghujung 2025 boleh mendorong pembelian segera terhadap jenis kenderaan itu.
"Pengenalan jenama dan model baharu, bersama-sama dengan strategi promosi yang berterusan, dijangka mengekalkan keterujaan pasaran," katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran mengenai potensi risiko penurunan.
"Perang dagang AS-China boleh memberi kesan bercampur kepada Malaysia terutamanya melalui pengurangan perdagangan luar dan pemindahan kilang-kilang China.
"Pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol pertengahan 2025 mungkin memberi kesan kepada permintaan kenderaan dengan kapasiti enjin yang lebih tinggi, tetapi boleh menggalakkan jualan EV.
"Selain itu, infrastruktur pengecasan EV terhad di negeri yang kurang membangun mungkin menghalang penerimaan EV secara meluas seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan keseluruhan TIV," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial