Daripada Anas Abu Hassan
DAVOS (Switzerland), 21 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan peringkat tinggi dengan pemimpin perniagaan daripada enam syarikat multinasional (MNC) termasuk AstraZeneca, Fortescue, DP World, Medtronics, Nestle dan Google.
Anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pertemuan itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Mountain Plaza Hotel di sini, apabila Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi Malaysia.
Turut hadir menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berserta pegawai kerajaan.
Anwar meluangkan masa selama setengah jam dalam setiap pertemuan dengan pemimpin perniagaan, bermula dengan Ketua Pegawai Strategi AstraZeneca Marc Dunoyer, diikuti pertemuan bersama Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Fortescue, Minderoo Foundation dan Tattarang Dr Andrew Forrest AO.
Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia kemudian bertemu DP World, diketuai oleh Pengerusi dan CEOnya, Sultan Ahmed Bin Sulayem dan turut mengadakan perbincangan dengan Medtronics, diwakili oleh Naib Presiden Kanan Eurasia Majid Kaddoumi.
Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif dan CEO Zon Asia, Oceania dan Afrika Nestle Remy Ejel.
Kemudian, Anwar dan para pegawai Malaysia mengadakan perbincangan dengan pemimpin daripada Google, diwakili oleh Ruth Porat, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google.
Sementara itu, dalam satu hantaran di aplikasi X malam ini, Anwar berkata beliau menggunakan ruang lingkup pertemuan tersebut untuk meneroka lebih banyak sinergi pelaburan dan perdagangan demi kepentingan bersama.
“Sesi tersebut juga sebagai isyarat dan usaha berterusan kerajaan dalam meyakinkan dan menarik kemasukan pelabur asing, baik baharu dan lama ke Malaysia.
“Iklim pelaburan global menuntut kerajaan untuk lebih aktif memperluas radar hubungan dan kerjasama lebih erat bagi merebut peluang yang ada hatta membawa manfaat untuk dinikmati rakyat dan juga ekonomi negara,” kata Perdana Menteri.
Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja selama tiga hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025 di sini. Ini merupakan penyertaan pertama beliau dalam WEF sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Dengan tema “Collaboration for the Intelligent Age”, sidang kemuncak peringkat tinggi itu bermula semalam sehingga 24 Januari, akan membincangkan, antara lain ialah peranan dan sumbangan teknologi baharu dan inovasi terkini dalam menangani isu ekonomi global.
Perbincangan akan memberi tumpuan kepada lima fokus utama -- Industries in the Intelligent Age; Rebuilding Trust; Reimagining Growth; Investing in People dan Safeguarding the Planet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial