KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM115.9 juta pada suku ketiga berakhir 31 Dis, 2024 (suku ketiga tahun kewangan 2025), peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding RM84.6 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
MNRB dalam satu kenyataan hari ini berkata prestasi kukuh tersebut dipacu terutamanya oleh keputusan perkhidmatan insurans yang lebih tinggi dan pengalaman tuntutan yang lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehannya meningkat sebanyak 15.8 peratus kepada RM936.7 juta berbanding RM808.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024, disumbangkan oleh pertumbuhan dalam segmen insurans semula dan takaful am.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan MNRB mencapai RM300.8 juta, pertumbuhan kukuh sebanyak 54 peratus berbanding RM195.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
MNRB mengaitkan pencapaian ini dengan peningkatan hasil perkhidmatan insurans/takaful terutamanya dari segmen insurans semula dan takaful am yang menekankan pendekatan penaja jamin yang seimbang dan berdisiplin.
Selain itu, kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM2.9 bilion, mencerminkan peningkatan sebanyak 11.5 peratus berbanding RM2.6 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama, dipacu oleh segmen insurans semula dan takaful am.
Kumpulan itu berkata prestasi cemerlangnya terserlah dalam peningkatan ketara pulangan tahunan atas ekuiti yang melonjak dari 9.6 peratus kepada 12.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengerusi MNRB Datuk Johar Che Mat berkata kumpulan mengekalkan prestasi kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2025 yang menunjukkan keberkesanan dalam menyelaraskan visi strategiknya selain berjaya melaksanakan inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang menguntungkan.
"Melalui perniagaan insurans semula / takaful semula dan takaful kami, kami berjaya memperluaskan kehadiran pasaran kami, memasuki wilayah geografi dan segmen pasaran baharu sambil turut mempelbagaikan tawaran produk.
"Sebagai hasil daripada strategi kumpulan untuk membangunkan barisan perniagaan khusus di bawah segmen insurans semula / takaful semula kami, kami menyaksikan perniagaan antarabangsa kami berkembang dengan baik sepanjang tahun dan kini berprestasi setanding dengan perniagaan tempatan apabila kami adalah peneraju pasaran," katanya.
Melangkah ke hadapan, Johar berkata dengan membina momentum kukuh ini, MNRB berada pada kedudukan yang baik untuk menutup tahun kewangan dengan keputusan yang positif.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial