Oleh Amirul Mohd Sajadi
KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini menjadi 'buah mulut' (topik perbualan hangat) dalam kalangan penggiat industri di rantau Asia.
Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC) Datuk Seri Tan Thian Lai berkata ia terbukti apabila beberapa syarikat dari China dan Timur Tengah mula menyatakan hasrat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek mega ini.
"Dalam dua lawatan kerja saya ke Shanghai, China dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, beberapa syarikat melibatkan infrastruktur, perkapalan dan teknologi melihat JS-SEZ sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan peniagaan dan pelaburan mereka.
"Mereka (pelabur) melihat JS-SEZ sebuah zon ekonomi unik dan mampan sekali gus mampu mengubah lanskap pelaburan di Asia Tenggara," katanya kepada Bernama.
Awal bulan ini, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.
JS-SEZ memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan mencipta pekerjaan pada 2025 dengan zon berkenaan diunjurkan menyumbang US$26 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mencipta 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
JS-SEZ adalah projek pembangunan mega merangkumi kawasan seperti Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai dan Sedenak.
Tan berkata kestabilan dari segi politik dan juga dasar ekonomi yang jelas Malaysia dan Singapura menjadi kunci tarikan utama kepada pelabur.
Selain itu beliau berkata lokasi strategik JS-SEZ terletak di laluan perdagangan antarabangsa utama menjadi nilai tambah dalam memudahkan pelabur mengakses pasaran ASEAN dan global.
"Saya menjangkakan JS-SEZ akan menjadi pusat pembangunan teknologi dan inovasi yang pesat di Asia Tenggara seiring negara maju lain.
"Dengan kelebihan ini, JS-SEZ berpotensi menjadi model SEZ moden yang berjaya kerana sinergi unik antara dua negara berbeza dalam saiz, sumber, dan kekuatan ekonomi tetapi pada masa sama saling melengkapi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial