EKONOMI > BERITA

ORIENTAL KOPI SASAR PENGEMBANGAN SERANTAU SELEPAS PENYENARAIAN SULUNG DI PASARAN ACE

23/01/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Oriental Kopi Holdings Bhd yang baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia kini dalam perbincangan untuk mengembangkan operasinya ke negara jiran.

Pengarah Urusan Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata syarikat itu optimis dan sedang menunggu berita baik mengenainya.

“Sebenarnya kami merancang untuk berkembang ke negara lain tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Apabila maklumat dimuktamadkan dan disahkan, kami akan meneruskannya serta membuat pengaturan yang diperlukan. Buat masa ini, kita tunggu berita baik mengenainya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Syarikat itu saham Oriental kopi dibuka pada 75 sen pada penampilan pertama di Pasaran ACE pada 75 dengan premium 31 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 44 sen dengan 65.58 juta saham didagangkan.

Syarikat itu baru-baru ini memulakan kafe luar negara pertamanya di Singapura menerusi perjanjian usaha sama dengan Paradise Group Holdings Pte Ltd.

Ditanya bagaimana untuk mempromosikan makanan Malaysia di negara lain, Calvin berkata reputasi antarabangsa negara telah berkembang dengan ketara, menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Pelancong yang datang ke Malaysia telah mencuba makanan tempatan dan memberi maklum balas yang sangat positif dan menggalakkan, ia merupakan petunjuk positif bagi kami. Ini memudahkan kami memperkenalkan masakan Malaysia ke negara lain.

"Kami akan mengenal pasti rakan kongsi seperti penggiat makanan dan minuman yang terkenal, di negara yang ingin kami akan teroka. Selain itu, kami akan melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai negara tersebut, sama seperti kami lakukan di Singapura," katanya. .

Mengulas lanjut mengenai rancangannya untuk meningkatkan penawaran produk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), Calvin berkata mereka akan berbincang dengan pasar raya utama dan mungkin berunding untuk ruang lebih besar untuk produk mereka.

“Produk FMCG kami semakin mendapat perhatian. Kami sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan halal dan akan melakukan yang terbaik untuk menembusi pasaran Melayu yang lebih besar,” katanya.

Calvin berkata Oriental Kopi kini menawarkan 31 produk, termasuk kopi putih, sambal dan Thai hot pot dan merancang untuk memperkenalkan 20 lagi produk menjelang akhir tahun ini atau, selewat-lewatnya menjelang suku pertama tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan