KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2025 menyasarkan untuk mencapai peningkatan jualan sebanyak lima peratus tahun ini berbanding jualan di acara yang sama berjumlah US$1.28 bilion (US$1 = RM4.43) pada tahun lepas.
Pengasas dan Pengerusi MIFF Datuk Tan Chin Huat menjangka acara empat hari itu, yang akan diadakan di dua tempat, akan mencapai keputusan yang lebih baik tahun ini walaupun tahun sebelumnya merupakan ulang tahun ke-30 MIFF dengan rekod 715 pempamer dari 15 negara dan wilayah.
“Kami berharap agar memperoleh keputusan yang lebih positif pada 2025,” katanya semasa sidang media pada pra-tonton MIFF 2025 dan acara rangkaian industri itu di sini hari ini.
Satu kenyataan hari ini berkata MIFF 2025 akan berlangsung mulai 1 hingga 4 Mac di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia serta di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Ia merangkumi kawasan seluas 100,000 meter persegi merentasi 17 dewan pameran dan akan menjadi acara perabot terbesar serta paling global di Asia Tenggara, dengan hampir 700 pempamer telah mengesahkan penyertaan mereka.
Pengurus Besar MFF Kelie Lim berkata selain peserta Malaysia, ia turut melibatkan pempamer dari Vietnam, Singapura, Indonesia, India, Thailand, Hong Kong dan Amerika Syarikat. Kumpulan terbesar terdiri daripada China, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan. Kira-kira 20,000 hadirin dijangka dengan 8,500 pengunjung sudah berdaftar.
Selain perabot, MIFF 2025 dianggap menonjol kerana ia turut mempamerkan keunggulan perabot kayu pepejal Malaysia termasuk koleksi penyelesaian ruang kerja terbesar di rantau ini, MIFF OFFICE.
Perabot dari bahan sisa kelapa sawit yang dikitar semula akan dipamerkan lebih banyak tahun ini, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Panasonic Housing Solutions dari Jepun dan Shantawood, salah satu pengeluar kerusi terbesar di Malaysia.
Dua acara utama yang diadakan bersempena dengan MIFF 2025 ialah Minggu KL iDesign, yang julung kali diadakan bagi memartabatkan reka bentuk Asia, yang dianjurkan dengan kerjasama Minggu Reka Bentuk Guangzhou dan penganjuran semula Anugerah Reka Bentuk Antarabangsa Kegemaran Saya untuk menyerlahkan seni bina dan reka bentuk dalaman yang luar biasa.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia turut akan mempamerkan amalan hijau dalam pembangunan perabot lestari..
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial