KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan lebih banyak insentif baharu menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) selain daripada pengagihan dana dan projek untuk merangsang ekonomi, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata insentif itu akan dirangka mengikut dasar yang diperlukan bagi memacu perubahan ekonomi tingkah laku dan masyarakat bagi menyokong transformasi negara.
“Insentif itu akan dirangka berasaskan dasar yang kita perlukan untuk membantu peralihan ini, bagi memudahkan perubahan tingkah laku yang kita perlukan dalam ekonomi dan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama peserta industri untuk RMK-13 di sini, Khamis.
Rafizi berkata pendekatan baharu untuk RMK-13 akan memastikan insentif tidak hanya tertumpu kepada pengagihan sumber secara langsung malah lebih menjurus kepada usaha mewujudkan ekosistem yang menyokong peralihan ekonomi ke arah lebih mampan dan berdaya saing.
RMK-13 tidak lagi akan menjadi satu dokumen yang hanya menyenaraikan projek kerajaan seperti sebelum ini, katanya.
“Fokus utama RMK-13 adalah kepada dasar dan program untuk mempengaruhi tingkah laku yang diperlukan bagi menyokong transformasi struktur ekonomi negara.
“Pendekatan baharu ini juga akan mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan awam, sebaliknya memberi ruang kepada sektor swasta untuk melakukan peranan utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus komited untuk menyelaraskan dasar antara pelbagai kementerian bagi memastikan isu seperti peraturan yang membebankan sektor swasta dapat diselesaikan.
“Platform seperti sesi libat urus memberikan ruang kepada kerajaan dan sektor swasta untuk merapatkan jurang pemahaman serta membolehkan kerjasama yang lebih baik.
“Kita mahu sektor swasta menjadi pemacu utama ekonomi, manakala kerajaan sebagai fasilitator melalui dasar dan program yang menyokong,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial