KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan Zec Solar Sdn Bhd dan TJZ Suria Sdn Bhd.
Kumpulan itu melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan ia telah memenuhi semua syarat awal di bawah perjanjian jual beli saham untuk pengambilalihan 22.39 juta saham, yang mewakili 51 peratus kepentingan ekuiti dalam ZEC Solar serta 49,000 saham biasa, yang mewakili kepentingan ekuiti 49 peratus dalam TJZ Suria.
"Pengambilalihan tersebut dijangka dengan segera meningkatkan kapasiti berkesan kumpulan kepada 159 megawatt (MW) dalam sektor tenaga boleh baharu (RE) selain mengoptimumkan kos operasi melalui sinergi sumber, menghasilkan skala ekonomi," katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata pengambilalihan itu menekankan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pelan tindakan peralihan tenaga negara bagi menangani cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim, keselamatan tenaga dan memastikan kemampanan jangka panjang.
"Ia juga menyediakan loji rujukan untuk memenuhi keperluan langkah pembidaan solar berskala besar (LSS) di masa hadapan, baik di dalam atau di peringkat antarabangsa.
“Tambahan lagi, kami turut menceburkan diri ke dalam projek tenaga hidro melalui Projek Sungai Galas RP Hydro (Kelantan) Sdn Bhd, berkapasiti 84 MW,” tambahnya.
Anwar Syahrin berkata Malakoff juga telah memperoleh perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) dengan pemain industri utama seperti DRB-Hicom, UMW, Perbadanan Aset Keretapi serta Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
“Tidak dapat dinafikan bahawa Malakoff telah mewujudkan momentum dalam kami mempercepatkan peralihan tenaga negara,” katanya lagi.
“Ini membuktikan komitmen kami untuk menyumbang kepada sasaran negara dalam mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050 dan meningkatkan kapasiti RE kepada 70 peratus bagi tempoh yang sama, memupuk masa depan yang lebih mesra alam,” katanya.
Sehingga kini, melalui tonggak perniagaan kumpulan yang baru diasaskan, portfolio Malakoff Green Solutions-Malakoff’s RE berada pada 159 MW, bermula dengan pelaksanaan projek LSS dan Solar Bumbung (RTS), kepada penjanaan tenaga hidro kecil serta pemasangan infrastruktur mobiliti bebas karbon .
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial