EKONOMI > BERITA

SEKTOR PEMBUATAN KEKAL POSITIF DIPACU PERMINTAAN DOMESTIK, PEMULIHAN RANTAIAN BEKALAN

04/02/2025 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sektor pembuatan Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan positif, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta peningkatan beransur-ansur dalam keadaan rantaian bekalan, menurut  Public Investment Bank Bhd (PIVB).

Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata risiko penurunan terhadap permintaan luaran masih tinggi, terutamanya pada separuh kedua 2025, memandangkan prospek pertumbuhan global yang perlahan dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat memberi tekanan kepada industri berorientasikan eksport.

"Ketidakpastian berkaitan dasar perdagangan global terutamanya selepas Presiden Donald Trump mengumumkan pendirian dasarnya boleh meningkatkan tekanan kepada aktiviti perindustrian.

"Meskipun perlu menghadapi cabaran ini, penggunaan domestik yang stabil, langkah fiskal yang menyokong pelaburan, serta pemulihan beransur-ansur dalam rakan dagangan utama mungkin membantu mengurangkan kesan negatif daripada faktor luaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

PIVB juga berkata sektor pembuatan Malaysia menghadapi cabaran berterusan pada awal 2025, dengan pengeluaran dan pesanan baharu masing-masing mengalami penyusutan.

Merujuk kepada S&P Global, bank pelaburan itu berkata firma pengeluar, sebagai tindak balas kepada permintaan yang lemah ini, menurunkan harga jualan buat pertama kali sejak Jun 2023. Penurunan ini, walaupun sederhana, merupakan pengurangan paling ketara sejak Januari 2015.

Sementara itu, indeks pengurus pembelian pembuatan global (PMI) meningkat sedikit kepada 50.1 pada Januari 2025, berbanding 49.6 pada Disember 2024, menandakan pengembangan pertama dalam tempoh tujuh bulan, kata PIVB.

“PMI pembuatan ASEAN kekal stabil pada 50.4 (Disember 2024: 50.7), kekal di atas paras neutral 50.0. PMI Malaysia pula meningkat sedikit kepada 48.7 (Disember 2024: 48.6), walaupun masih dalam zon penguncupan.

“PMI Thailand merosot kepada 49.6 (Disember 2024: 51.4), menunjukkan penurunan dalam pembuatan dan pengecutan pertama sejak April 2024.

“Ekonomi ASEAN lain kekal di atas paras 50.0, dengan PMI Indonesia meningkat kepada 51.9 (Disember 2024: 51.2), tertinggi sejak Mei 2024; Filipina pula menurun kepada 52.3 (Disember 2024: 54.3), selepas mencapai paras tertinggi dalam 32 bulan pada Disember,” menurut bank pelaburan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan