KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Nilai perolehan kontrak Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) 2025 dijangka meningkat RM4 bilion hingga RM5 bilion berikutan kesan limpahan penangguhan projek seperti pembangunan semula Stadium Shah Alam dan Kuala Lumpur Sentral serta arahan perubahan kerja LRT3.
Menerusi nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata langkah ini akan meningkatkan dengan ketara nilai perolehan kontrak luarannya berbanding paras semasa RM4 bilion (tidak termasuk projek di Bukit Jalil).
“Faktor penangguhan utama seperti halangan kelulusan untuk LRT3 Fasa 2 dan identifikasi tapak tanah untuk Stadium Shah Alam sebahagian besarnya telah diselesaikan.
“Sementara itu, projek KL Sentral sedang diperhalusi tetapi dijangka dimuktamadkan pada 2025 seiring dengan sasaran permulaan Kementerian Pengangkutan 2025,” katanya.
Sehubungan itu, HLIB berkata 2025 dijangka menjadi tahun paling sibuk bagi MRCB dalam pelbagai bidang berikutan ia akan melaksanakan projek yang telah dirundingkan, bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion selain usaha sulung dalam sektor penjagaan kesihatan, tender LRT Pulau Pinang dan sasaran pelancaran hartanah bernilai RM4.3 bilion.
“Kami yakin realisasi projek yang telah dirundingkan ini akan meningkatkan dengan ketara nilai perolehan kontrak luaran yang aktif berbanding paras semasa RM4 bilion, dengan lebih banyak projek berpotensi daripada tender infrastruktur lain.
"Selepas penangguhan pada 2024, pelancaran dan jualan hartanah dijangka meningkat, dengan pasaran utama Australia menunjukkan semakan kenaikan harga.
“Selain itu, kami menyifatkan tindakan menarik diri daripada projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura adalah langkah bijak berikutan keperluan untuk memanfaatkan sumber terhadap projek lain," katanya.
HLIB mengekalkan pendirian “beli” dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 67 sen kepada MRCB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial