EKONOMI > BERITA

AMINVESTMENT BANK JANGKA CAPEX FPSO SEPAT LEBIH KECIL KEPADA US$500 JUTA

07/02/2025 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- AmInvestment Bank Bhd menjangkakan perbelanjaan modal (capex) yang lebih kecil iaitu kira-kira US$500 juta untuk kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Medan Sepat.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu mengaitkan anggaran perbelanjaan modal yang lebih rendah untuk kapasiti pengeluaran di Medan Sepat iaitu pada sekurang-kurangnya 30,000 tong sehari.  

“Disebabkan saiz pengeluaran yang kecil, kami percaya hanya kontraktor tempatan akan membida untuk projek tersebut. Enam kontraktor dilaporkan terlibat termasuk MISC Bhd, Oceanstar Group, EPOMS Sdn Bhd, T7 Global Bhd, MTC Group dan Sapura Energy Bhd.

“Bagaimanapun, kami melihat MISC sebagai pesaing utama, memandangkan rekod prestasinya yang kukuh dalam projek-projek FPSO/penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) di Malaysia dan hubungan kukuhnya dengan PCSB,” katanya.

Sementara itu, bank pelaburan berkenaan mengesahkan pendekatan tematik pembangunannya untuk 2025 dan mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor tersebut.

"Kami menjangkakan Malaysia akan terus menyaksikan trend yang kukuh bagi tender FPSO/FSO dan pemberian kontrak," tambahnya.

Upstream baru-baru ini melaporkan PCSB telah meminta penyerahan tender untuk pajakan dan operasi kapal FPSO bagi Medan Sepat, dengan tarikh akhir pada 5 Mac, 2025. Ini berikutan dengan aktiviti prakelayakan yang dilancarkan pada September 2024.

Medan Sepat merupakan projek pembangunan semula air cetek yang terletak di Blok PM313, kira-kira 130 kilometer ke timur Kuala Terengganu, Malaysia. Projek itu kini sedang menghasilkan minyak di bawah sistem pengeluaran awal menggunakan unit pengeluaran luar pesisir mudah alih dan kapal FSO.

Kontrak itu akan berlangsung untuk tempoh tetap selama 15 tahun, dengan lanjutan pilihan sehingga lapan tahun melalui pembaharuan kontrak secara tahunan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan