EKONOMI > BERITA

AHLI PARLIMEN CADANG TUBUH JAWATANKUASA TELITI RISIKO FOREX KEPADA GLIC

12/02/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Ahli parlimen hari ini menyeru kerajaan supaya mewujudkan satu jawatankuasa untuk menyelaras risiko pertukaran mata wang asing (forex) terhadap operasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ahli parlimen Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkata forex merupakan antara faktor besar dalam menentukan keuntungan serta kerugian sesebuah syarikat atau institusi kewangan berdasarkan prestasi yang telah dicatatkan pada tahun lepas.

Memetik contoh, beliau berkata keuntungan serta kerugian yang diperoleh oleh syarikat utiliti gergasi seperti Tenaga Nasional Bhd pada tahun sebelum ini adalah dipengaruhi oleh faktor terjemahan pertukaran mata wang asing.

"Persoalannya, adakah Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu jawatankuasa bagi menyelaras risiko forex merentas GLIC?,” katanya.

"Dalam konteks pengurusan GLIC, mandat pelaburan perlu dikaji semula agar selari dengan matlamat strategik negara tanpa mengorbankan kebebasan membuat keputusan," katanya dalam sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) turut mencadangkan supaya kerajaan membuat pindaan kepada Akta Bank Negara Malaysia 2009 bagi mengukuhkan tindakan pengawalseliaan terhadap sektor insurans kesihatan.

Pindaan akta ini akan membantu mengawal selia premium yang ditetapkan oleh pihak syarikat insurans dan takaful bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan pembayaran premium yang melampau.

"Saya mohon dewan ini mempertimbangkan agar Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang mengawal selia insuran kesihatan peribadi dipinda untuk hanya menggunakan penarafan komuniti dan bukan penarafan risiko," katanya.

Dalam pada itu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) turut mencadangkan supaya diwujudkan sebuah suruhanjaya kesihatan yang akan menjadi platform bagi mengawal selia sektor kesihatan seperti isu berkaitan insurans kesihatan dan caj yang dikenakan oleh hospital swasta.

"Tidak ada sinergi setakat ini untuk mengawal selia serta menjamin kestabilan pasaran, jadi perlu dilaksanakan (suruhanjaya) supaya Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan boleh mengawal selia syarikat insurans serta hospital swasta," jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan