EKONOMI > BERITA

KETUA MENTERI PULAU PINANG KETUAI MISI PENGGALAKAN PELABURAN KE JEPUN

16/02/2025 04:36 PM

GEORGE TOWN, 16 Feb (Bernama) -- Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengetuai misi penggalakan pelaburan Pulau Pinang ke Jepun dari 16-22 Feb untuk memperbaharui dan mengeratkan hubungan dengan ibu pejabat korporat pelabur Jepun di negeri itu.

Misi anjuran InvestPenang, agensi penggalakan pelaburan negeri itu juga bertujuan untuk menggalakkan pengembangan tapak pelabur di Pulau Pinang dan menarik pelaburan baharu, kata Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini.

“Selain itu, misi tersebut adalah untuk memaklumkan perkembangan dan peluang terkini yang ada di Pulau Pinang kepada syarikat Jepun, termasuk maklumat mengenai kemajuan terkini dalam infrastruktur dan perubahan dasar untuk memudahkan pelaburan.

"Dengan mengukuhkan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan utama, misi itu juga menyasar menarik bakal pelabur dalam industri elektrik dan elektronik, semikonduktor, peralatan dan peranti perubatan," kata kenyataan itu.

Semasa lawatan tersebut, Chow dan para perwakilan akan menyertai beberapa siri mesyuarat dan lawatan tapak dengan ibu pejabat korporat pelabur Jepun di Tokyo, Kyoto dan Kumamoto.

Menurut kenyataan itu, InvestPenang juga mengambil bahagian sebagai salah satu pempamer dalam Ekspo Pemulihan Perindustrian Kumamoto pada 20-21 Feb di Kumamoto, yang merupakan hab bagi industri semikonduktor Jepun.

Kumamoto sering dirujuk sebagai 'Pulau Silikon' kerana perkembangan pesat industri semikonduktornya. 

“Misi ini adalah peluang berharga untuk mempamerkan kekuatan, inovasi dan komitmen Pulau Pinang untuk menjadi lokasi pelaburan yang berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Pulau Pinang yang diberi jolokan sebagai "Lembah Silikon Timur" itu  menarik pelaburan berjumlah RM31.38 bilion pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan