EKONOMI > BERITA

UNIT PETRONAS PANTAU PENGELUARAN MINYAK DAN GAS YANG RENDAH DI SEMENANJUNG

17/02/2025 10:36 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

 

UALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Energy & Gas Trading (PEGT) sedang memantau pengeluaran minyak dan gas yang rendah di Semenanjung Malaysia serta secara proaktif berkolaborasi dengan pihak berkepentingan untuk memastikan bekalan gas yang berterusan dan stabil di negara ini. 

PEGT merupakan cabang perdagangan serta pemasaran untuk gas yang diproses dari Malaysia ke Singapura

Ketua Pegawai Eksekutif PEGT, Hisham Maaulot berkata walaupun pelaburan dalam aktiviti huluan adalah penting bagi menggantikan atau menambah medan penghasilan semasa, akan sampai waktu, yang mana mengimport gas asli cecair (LNG) menjadi penyelesaian yang lebih baik dari segi ekonomi untuk memenuhi keperluan gas negara.

Peralihan ini didorong oleh peningkatan cabaran dan kos dalam pengeluaran gas tempatan termasuk medan dengan tahap karbon dioksida (CO2) yang lebih tinggi serta kelaziman medan gas kecil dan marginal. Oleh itu, “memastikan daya saing pasaran gas domestik Malaysia terhadap arena global adalah kritikal,”.

 Untuk mendapatkan keselamatan tenaga jangka panjang, industri gas Malaysia perlu berkembang ke arah liberalisasi pasaran penuh.

"Pasaran gas terbuka dan kompetitif akan meningkatkan daya tarikan kita sebagai destinasi pelaburan selain membina sistem tenaga yang lebih berdaya tahan untuk masa depan,” kata Hisham kepada Bernama.  

Beliau beranggapan dengan akses pihak ketiga (TPA) termasuk harga berasaskan pasaran yang telah dipersetujui bagi sektor bukan tenaga, langkah logik seterusnya adalah memindahkan harga bahan api untuk sektor tenaga ke arah model yang didorong oleh pasaran.

Pada November 2024, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata pengeluaran minyak dan gas Semenanjung Malaysia telah menurun sebanyak separuh dalam dekad yang lalu, dengan rizab baharu banyak tertumpu di Sabah dan Sarawak.

Dari 700,000 tong sehari pada 10 tahun lepas, pengeluaran minyak dan gas di Semenanjung telah jatuh kepada 350,000 tong sehari, beliau seterusnya menegaskan bahawa Malaysia perlu mempercepat peralihannya ke arah tenaga bersih walaupun minyak dan gas terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta pengagihan pendapatan. 

 

Permintaan Gas Domestik

Hisham berkata tumpuan utama PEGT adalah untuk memastikan bekalan gas yang diproses sentiasa konsisten dan boleh dipercayai bagi memenuhi lonjakan permintaan di pasaran domestik. Bagaimanapun, penurunan dalam sumber domestik serta cabaran pengeluaran, seperti pelepasan yang lebih tinggi dan persekitaran lazim dalam medan kecil dan marginal, menjadikan usaha ini lebih kompleks dan mahal untuk mengekalkan output gas domestik. 

Beliau berkata dalam menangani cabaran-cabaran ini, LNG telah menjadi sebahagian daripada penyelesaian penting dan PEGT secara aktif mengimport LNG untuk mendokong pasaran gas Semenanjung Malaysia, ianya disumberkan bukan sahaja melalui portfolio LNG yang luas di Petronas tetapi juga dari pembekal pihak ketiga.

“Kita membeli LNG pada harga pasaran yang lazim, ini menggariskan kepentingan liberalisasi pasaran bagi menjamin bekalan gas tidak terganggu yang akan memastikan keselamatan tenaga untuk negara ini, " kata Hisham. “Walaupun sumber adalah milik kita sendiri, kita sedang meneroka saluran berpotensi lain bagi menambah bekalan gas termasuk mengekalkan portfolio seimbang.  “Langkah-langkah ini menyumbang ke arah mendapatkan sumber gas yang mampan dan boleh dipercayai untuk pasaran domestik,”.

Untuk memastikan bekalan yang berpanjangan dari kompleks Petronas LNG di Sarawak, PEGT telah meraih kejayaan penemuan gas pertamanya melalui medan baharu seperti Timi, Kasawari dan Jerun sambil terus membangunkan beberapa medan baharu seperti Rosmari serta Marjoram, ini akan melonjakkan pengeluaran gas pada masa akan datang, katanya.

Menurut beliau, liberalisasi yang agak terhad sekarang ini mengehadkan kecairan pasaran disebabkan sektor tenaga masih dikawal selia secara ketat sehingga membatasi potensi penuh TPA dan kecekapan pasaran keseluruhan.

Sejak 2021, Petronas Gas Bhd telah menawarkan kapasiti untuk pendedahan, yang mana masih terdapat peluang untuk pengambilan yang lebih besar, "kita percaya ini hanya akan dapat dicapai tanpa kawalan harga".

“Memperluas liberalisasi dengan memasukkan sektor tenaga dan bukan tenaga melalui pendekatan bertahap dapat meningkatkan persaingan selain mewujudkan pasaran yang lebih bertenaga sambil mengekalkan kestabilan,” kata Hisham lagi.

 

Penyelarasan Proses TPA

Terdapat dua terminal regasifikasi di negara ini dan kedua-duanya kini ditanggung secara menyeluruh secara jangka panjang oleh PEGT.   

Hisham berkata PEGT secara aktif terlibat dalam inisiatif bagi menyelaraskan proses TPA, memudahkan akses lancar untuk pihak ketiga memanfaatkan terminal regasifikasinya di Sungai Udang dan Penahan. Usaha ini bertujuan menggalakkan akses yang saksama, memupuk persaingan termasuk memacu pertumbuhan pasaran. 

“Sejak pengenalan rangka kerja TPA dan harga berasaskan pasaran untuk sektor bukan tenaga pada 2017, kita telah melihat kemajuan yang menggalakkan melalui penyertaan pihak ketiga. Bagaimanapun, lebih banyak usaha perlu dibuat bagi membuka kunci potensi TPA dan memupuk pasaran gas yang lebih bertenaga di Malaysia,” katanya.

Antara langkah-langkah utama yang dilakukan oleh PEGT termasuk pasaran gas bukan tenaga dinamik, yang mana Petronas, melalui PEGT telah menyokong pasaran yang bertenaga dengan memastikan ketersediaan gas kepada pembekal.  “Ini telah menarik banyak pemain, peningkatan persaingan serta menyediakan pengguna akhir dengan perkhidmatan dan nilai yang lebih baik,” kata Hisham.

Beliau mengulangi usaha meliberalisasikan pasaran tenaga adalah kunci untuk meningkatkan bekalan pihak ketiga di negara ini kerana ia akan menjadikan industri gas Malaysia lebih menarik dan dinamik selain menggalakkan pemain baharu memasuki pasaran. 

 

Cabaran Dalam Mencapai Liberalisasi Pasaran Gas

Hisham menegaskan untuk mencapai potensi penuh pasaran yang kompetitif serta cekap, “terdapat cabaran tertentu yang perlu kita hadapi”. Ini termasuk keseimbangan antara menjamin keselamatan tenaga dan menyediakan tenaga yang berpatutan kepada rakyat.

Cabaran-cabaran ini tidak unik kepada Malaysia kerana ia juga berlaku di pasaran maju seperti Eropah dan Australia, yang mana kerajaan kadang-kadang beralih kepada sumber-sumber tenaga yang lebih mencemarkan bagi  menangani kebolehkerjaan dan kebimbangan bekalan. “Peralihan secara beransur -ansur ke arah subsidi bersasar dapat melindungi kumpulan terdedah sambil mengurangkan tekanan fiskal. Pendekatan ini akan merangsang penyertaan pasaran, meningkatkan kecairan dan menyokong permintaan gas yang semakin bertambah,” katanya.

Satu lagi cabaran adalah akses terhad kepada infrastruktur kritikal seperti terminal regasifikasi dan saluran paip, ini menghalang penyertaan pihak ketiga. Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga mencerminkan  keperluan untuk menaik taraf dan mengembangkan kemudahan gas bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“PEGT secara aktif sedang menyelaraskan proses TPA untuk membolehkan akses lancar ke infrastruktur seperti terminal regasifikasi di Sungai Udang dan Penahan. Memastikan akses saksama yang akan memupuk persaingan serta menyokong pertumbuhan pasaran,” tambahnya.

Hisham berkata penjajaran harga gas domestik dengan harga global secara beransur-ansur juga akan mengurangkan risiko keuntungan, membolehkan penyertaan pembekal yang lebih besar dan pertumbuhan pasaran sokongan. Harga gas yang dikawal selia untuk sektor tenaga akan memastikan kemampuan dan pada masa yang sama, mencipta gangguan pasaran yang akan menghalang persaingan. 

Jurang antara harga gas global dan paras domestik Malaysia menimbulkan risiko bagi pengangkut LNG, mengehadkan keupayaan mereka dalam menggunakan infrastruktur utama seperti saluran paip serta terminal regasifikasi dan peristiwa geopolitik baru-baru ini telah melebar jurang tersebut. “Dasar subsidi yang disasarkan dapat mengekalkan kemampuan sambil memupuk persekitaran yang kompetitif,” katanya. 

Hisham menjelaskan setakat ini, Petronas belum terlibat dalam sebarang inisiatif yang berkaitan dengan peralihan loji tenaga arang batu kepada loji bertenaga gas. “”Bagaimanapun, Petronas secara aktif sedang mengejar peluang untuk memenuhi permintaan yang semakin menokok bagi gas asli di Malaysia, terutamanya apabila perkhidmatan loji-loji arang batu ini ditamatkan,”’ katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan