KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kerajaan sentiasa menilai dan menambah baik pelaksanaan projek kerajaan termasuk projek kerjasama awam-swasta (PPP) bagi memastikan ia kekal sebagai instrumen pembiayaan yang berdaya maju tanpa memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata hanya projek strategik yang memberi impak tinggi kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat dipertimbangkan selaras dengan keutamaan dasar kerajaan.
“Selain itu, kerajaan memperkukuh mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi memastikan ketelusan dalam perjanjian konsesi serta mengelak risiko liabiliti luar jangka yang tidak terkawal.
“Dalam hal ini, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 berfungsi sebagai kerangka utama bagi memastikan disiplin fiskal termasuk mengawal tahap hutang dan liabiliti kerajaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Lim berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) jika kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan kerjasama awam untuk projek infrastruktur yang besar.
Beliau berkata kerajaan juga mengukur pemantauan terhadap risiko fiskal dan liabiliti melalui platform seperti Jawatankuasa Risiko Fiskal dan Liabiliti yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mekanisme ini memastikan sebarang aplikasi kewangan kerajaan daripada projek infrastruktur sedia ada dan baharu yang dilaksanakan melalui model pembiayaan alternatif tidak menjejaskan usaha konsolidasi fiskal dan kedudukan kewangan negara,” katanya.
Menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai pemantauan projek awam-swasta, Lim berkata kerajaan sentiasa memantau dengan teliti semua projek yang dilaksanakan melalui mana-mana kaedah kerjasama.
“Komitmen kerajaan ialah memastikan pengurusan fiskal yang berhemat dan pada masa yang sama, kita mahu memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial