KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Garis Panduan Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox) yang memperincikan kriteria kelayakan dan keperluan penyertaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata sandbox pengawalseliaan yang diumumkan pada tahun lepas itu ialah alat kawal selia yang mempertingkatkan dasar dan memastikan ia sesuai dengan menyediakan persekitaran terkawal untuk entiti menguji produk atau perkhidmatan pasaran modal yang inovatif.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata sandbox tersebut memudahkan inovasi yang bertanggungjawab dalam pasaran modal di samping memastikan perlindungan pelabur yang teguh.
“Dengan memperkasakan pemain industri untuk bereksperimen dengan idea inovatif, sandbox ini mencerminkan visi kami untuk membina pasaran modal yang dinamik, inklusif dan sedia masa hadapan.
"Ia juga memupuk kerjasama merentas ekosistem, lalu memastikan kemajuan sejajar dengan perlindungan pelabur,” katanya.
SC berkata sandbox tersebut terbuka kepada pihak yang memperkenalkan produk atau perkhidmatan pasaran modal yang belum tersedia di Malaysia pada masa ini dan tidak padan sepenuhnya dengan mana-mana rangka kerja SC sedia ada.
Pemohon harus menunjukkan cadangan nilai yang jelas, mengemukakan rancangan ujian komprehensif, sumber yang mencukupi, menampilkan rancangan perniagaan yang realistik untuk pengkomersilan pascaujian dan memiliki infrastruktur yang diperlukan, tadbir urus dan prototaip berfungsi sepenuhnya untuk memulakan ujian, kata SC.
Ia berkata produk dan penyelesaian yang memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan, kewangan Islam atau penyelesaian persaraan adalah amat digalakkan.
Peringkat penilaian dianggarkan mengambil masa dua bulan, tertakluk kepada kerumitan permohonan yang diterima, dan calon yang berjaya akan dimaklumkan mengenai penyertaan mereka dalam sandbox.
Borang permohonan kini tersedia dan pihak yang berminat boleh membuat persediaan sebelum pembukaan waktu permohonan pada April.
Permohonan untuk sandbox akan dibuka dari 15 April hingga 31 Mei 2025. Pemohon akan dimaklumkan dalam tempoh 30 hari selepas penyerahan jika mereka maju ke peringkat penilaian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial