KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Anak syarikat EcoWorld Malaysia, Eco Business Park 1 Sdn Bhd menjual tanah pegangan bebas seluas 56.06 hektar di Eco Business Park I di Iskandar Malaysia, Johor kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM693.96 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata tanah berkenaan terdiri daripada 117 lot tanah kosong hak pegangan bebas dan rizab jalan.
"Sebahagian RM693.9 juta yang dijangka diterima daripada penjualan tanah tersebut akan digunakan untuk menyiapkan pembangunan infrastruktur utama serta menampung perbelanjaan berkaitan yang dijangka akan ditanggung dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian jual beli (SPA).
“Sementara baki akan digunakan sebagai modal kerja bagi kumpulan syarikat EcoWorld Malaysia,” menurut makluman itu.
Sebelum ini, EcoWorld Malaysia berjaya menjual dua lot tanah strategik di taman perniagaan QUANTUM Edge kepada pengendali pusat data pada tahun kewangan 2024, menjana hasil keseluruhan sebanyak RM626 juta.
Syarikat itu berkata termasuk tanah yang dicadangkan untuk dijual, jumlah jualan tanah kepada pemain pusat data melebihi RM1.3 bilion dalam masa kurang daripada setahun, meningkatkan rizab tunai kumpulan berjumlah RM1.36 bilion setakat 31 Oktober 2024.
“Ini menunjukkan EcoWorld Malaysia berada dalam kedudukan yang baik bukan sahaja untuk meningkatkan simpanan tanahnya tetapi juga untuk mengejar peluang strategik bagi mengembangkan portfolio aset pendapatan berulang dalam sektor komersial dan/atau perindustrian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial