Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bahrain mencecah RM1.19 bilion (US$260 juta) pada 2024, berbanding RM1.5 bilion (US$330 juta) pada 2023.
Jumlah eksport Malaysia ke Bahrain meningkat 17.4 peratus kepada RM251.2 juta (US$54.8 juta) daripada RM214.0 juta (US$46.9 juta) pada 2023, menurut data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Prestasi positif itu didorong oleh peningkatan eksport peralatan pengangkutan ke Bahrain.
Jumlah import Malaysia dari Bahrain pula adalah RM934.3 juta (US$205.6 juta) daipada RM1.28 bilion (US$279.7 juta) pada 2023, disokong oleh peningkatan import produk logam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Bahrain.
“Kita percaya kerjasama yang lebih kukuh dengan Bahrain menawarkan manfaat bersama, membuka peluang baharu untuk perniagaan di kedua-dua negara contohnya dalam sektor kewangan Islam serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit.
“Kita menanti untuk meneroka usaha sama yang dapat memacu pertumbuhan dan kemakmuran untuk Malaysia dan Bahrain,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain bermula malam ini, menandakan satu lembaran baharu dalam hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain.
Lawatan itu merupakan yang pertama bagi Anwar sebagai Perdana Menteri, susulan jemputan daripada Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa.
Beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatan dari Bahrain dengan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain.
Antara perkara yang akan dibincangkan meliputi perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesambungan dan pelancongan, serta isu serantau dan global yang menjadi kebimbangan bersama.
Sebagai sebahagian daripada kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Anwar juga akan menjemput Putera Mahkota Bahrain ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China, kedua-duanya akan diadakan di Malaysia.
Perdana Menteri juga dijadual menghadap Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, yang merupakan satu penghormatan tinggi kepada Malaysia, selain menzahirkan keutuhan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa, bagi membincangkan peluang kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Bahrain.
Sementara itu, Tengku Zafrul juga berkata usaha untuk mencapai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-GCC, bersama-sama dengan perjanjian dua hala di Timur Tengah, menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan rantau ekonomi yang penting itu.
Pada masa ini, Malaysia sedang merundingkan FTA dengan GCC, yang termasuk Bahrain, dengan FTA bertujuan meningkatkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan GCC.
Pada 2023, Bahrain merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia manakala Malaysia pula rakan dagang ketiga terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN dan ke-18 di peringkat global.
Kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas, mengukuhkan komitmen masing-masing untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.
Eksport utama Malaysia ke Bahrain adalah makanan diproses, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik (E&E).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial