EKONOMI > BERITA

EKSPORT KAYU NEGARA NAIK 4.9 PERATUS KEPADA RM22.9 BILION PADA 2024 -- JOHARI GHANI

18/02/2025 02:10 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Nilai eksport produk perkayuan negara meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM22.9 bilion pada tahun lepas berbanding pada 2023, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata industri perkayuan merupakan penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion).

Johari berkata antara destinasi eksport produk perkayuan tempatan ialah Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Namun begitu, menurut beliau jumlah penyertaan bumiputera secara keseluruhan dalam industri perkayuan masih berada di tahap yang rendah.

"Walaupun terdapat peningkatan berbanding pada 2023, usahawan bumiputera masih lagi menyumbang kurang daripada satu peratus atau RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu.

"Kebanyakan syarikat usahawan bumiputera juga masih berada dalam kategori perusahaan kecil atau mikro," katanya sewaktu menghadiri Simposium Pemerkasaan Bumiputera dalam Industri Perkayuan di sini hari ini.

Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui agensi perkayuan iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) sentiasa berusaha meningkatkan daya saing selain penglibatan bumiputera dalam industri tersebut melalui teras dasar serta strategi yang digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) (2021-2030) dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (2021-2025).

Katanya, DAKN menggariskan beberapa strategi utama untuk memperkasa penyertaan bumiputera seperti memupuk kerjasama antara syarikat perkayuan, memastikan usahawan bumiputera mendapat pensijilan kemampanan dan menggalakkan kemahiran budaya tempatan yang lebih tinggi seperti pertukangan, ukiran kayu dan reka bentuk tempatan bagi usahawan artisan.

Beliau berkata sebagai komitmen kerajaan untuk memperkasa penyertaan usahawan bumiputera, kerajaan melalui MTIB memperuntukkan sebanyak RM44.7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan ke-12 bagi membekalkan mesin berteknologi tinggi kepada kelompok usahawan berkenaan.

Inisiatif itu, katanya, memberi manfaat kepada 175 usahawan melibatkan 319 unit mesin yang dibekalkan.

Selain itu, Johari berkata KPK melalui CTCS Worldwide Sdn Bhd (CTCS), sebuah anak syarikat milik penuh MTIB dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan untuk mewujudkan semula Program Pemasaran Perabot Bersepadu Bumiputera bagi Kontrak Panel Berpusat (KPB).

Simposium anjuran Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dengan kerjasama MTIB dan MTC itu diadakan susulan pelaksanaan sesi libat urus bersama usahawan bumiputera yang diadakan pada tahun lepas.

Hasil daripada sesi libat urus tersebut menghasilkan Pelan Hala Tuju PEKA Dalam Industri Perkayuan yang akan dijadikan rujukan oleh pihak industri khususnya bumiputera dalam bidang perkayuan.

Pelan berkenaan menggariskan beberapa strategi utama seperti peningkatan akses kepada bahan mentah, pembangunan modal insan, penggunaan teknologi terkini, pemeliharaan warisan dan kesenian serta memperkukuhkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana bumiputera ke peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan