PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Syarikat bumiputera dalam industri perkayuan tempatan perlu bekerjasama dengan syarikat bukan bumiputera bagi memperluas pasaran dan mengukuhkan daya saing mereka, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk mewujudkan ekosistem yang dapat membantu syarikat bumiputera bersaing khususnya melalui rangkaian bekalan yang kukuh.
“Mereka (syarikat bumiputera) perlu bekerjasama dengan syarikat bukan bumiputera yang berjaya dalam negara berikutan mereka mempunyai rantaian bekalan.
"Banyak reka bentuk, idea yang datang daripada syarikat bumiputera ini tidak boleh kita realisasikan kalau kita tiada rantaian bekalan.
“Kita tidak boleh in silo (bekerja sendiri) dalam dunia perniagaan ini. Perniagaan itu bersifat universal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Pemerkasaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan di sini hari ini.
Johari berkata sebagai komitmen kerajaan untuk memperkasakan penyertaan usahawan bumiputera, kerajaan melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia telah memperuntukkan RM44.7 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-12 bagi membekalkan mesin berteknologi tinggi kepada usahawan bumiputera.
Inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 175 usahawan melibatkan 319 unit mesin yang telah dibekalkan.
Selain itu, Johari berkata kementerian melalui CTCS Worldwide Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MTIB dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan semula Program Pemasaran Perabot Bersepadu Bumiputera bagi Kontrak Panel Berpusat.
Terdahulu, Johari memaklumkan bahawa nilai eksport produk perkayuan negara meningkat 4.9 peratus kepada RM22.9 bilion tahun lepas berbanding 2023.
Beliau berkata industri perkayuan adalah penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion), dengan destinasi utama eksport termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
Simposium anjuran Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC) itu diadakan susulan sesi libat urus bersama-sama usahawan bumiputera tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial