EKONOMI > BERITA

PEMBINAAN LOJI PENYIMPANAN DAN PENAPISAN PETROLEUM DI SOGIP, SABAH BERMULA APRIL INI

18/02/2025 04:15 PM

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Usaha pembinaan bagi projek loji penyimpanan dan penapisan minyak petroleum di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), kira-kira 144 kilometer dari sini, dijangka bermula pada April ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek pembinaan milik Petroventure Energy Sdn Bhd itu mampu menapis minyak sehingga 150,000 tong sehari (BPD) manakala kemudahan penyimpanan berkapasiti tiga juta meter padu untuk minyak mentah dan produk petroleum ditapis. 

Projek di tanah seluas 161 hektar di SOGIP itu tidak hanya mampu menarik pelaburan asing langsung (FDI) bernilai lebih US$3.5 bilion (RM15.5 bilion), tetapi juga bakal mewujudkan hampir 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

"Lebih 3,000 orang tenaga pekerja dijangka diperlukan sewaktu pembinaan projek ini dan lebih 1,000 orang tenaga pekerja tetap diperlukan apabila loji ini beroperasi sepenuhnya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek pembinaan loji itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu disini hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Hajiji berkata projek itu merangkumi pembangunan jeti, fasiliti pemeringkatan minyak, makmal ujian petroleum dan bangunan pentadbiran. 

Beliau juga yakin pelbagai kajian berkaitan alam sekitar yang dilaksanakan oleh pihak Petroventure seperti kajian kesan alam sekitar (EIA), akan dapat memastikan projek berkenaan dibangunkan secara mampan.

Ini, katanya, selaras dengan keperluan industri serta kepentingan alam sekitar yang sememangnya diberi penekanan oleh kerajaan negeri itu.

Hajiji berkata SOGIP juga telah meraih banyak pelaburan, termasuk berimpak tinggi seperti Syarikat Esteel untuk kilang keluli (Green Steel) dengan nilai pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion. 

Usaha terbaharu membabitkan projek hab tenaga, minyak dan gas bernilai RM8.88 bilion hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited yang sekali gus membantu menjadikan Sabah sebagai hab utama dalam sektor tenaga Asia Tenggara.

"Sabah kaya dengan sumber semula jadi seperti hutan, galian, fauna, flora serta hidupan laut. Ini turut dibantu oleh lokasi strategik, persekitaran politik stabil, sumber semula jadi banyak dan ekonomi yang menjadikan Sabah sebagai pilihan sesuai untuk pelabur asing," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan