EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MENERAJUI ASEAN DALAM ASPEK PERUMAHAN MAMPU MILIK - JUWAI IQI

18/02/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Malaysia ialah peneraju ASEAN yang berjaya mengembangkan akses kepada perumahan mampu milik, walaupun ia mempunyai sumber yang terhad bagi segmen tersebut, kata Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata Malaysia dengan populasi 34 juta dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita RM51,001, masih berjaya membelanjakan jumlah yang besar, iaitu memperuntukkan RM2.85 bilion untuk perumahan mampu milik setiap tahun.

“Semua perbelanjaan ini memberi kesan, dengan Malaysia dijangka mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2026.

“Jumlah itu dilihat amat bercita-cita tinggi ketika ia diumumkan tetapi 443,259 unit siap dibina pada September lepas, bermakna kurang daripada 60,000 mesti dibina pada 2025 dan 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Berbanding negara ASEAN lain, Kashif berkata kerajaan Malaysia sangat komited terhadap kebolehcapaian perumahan, susulan jangkaan 1.4 juta penduduk akan berpindah ke kawasan bandar menjelang 2030.

Beliau berkata Malaysia memperuntukkan kira-kira RM2.85 bilion untuk perumahan mampu milik pada 2024, kurang berbanding enam lagi negara ASEAN manakala tiga negara tidak mempunyai peruntukan untuk tujuan itu.

“Perbandingan ini mendedahkan bahawa rumah mampu milik merupakan satu keutamaan yang penting di Malaysia, tetapi bukan di negara ASEAN lain.

“Usaha membina rumah mampu milik di Malaysia juga sangat berdaya saing.

“Pada asas perbelanjaan per kapita, Malaysia berbelanja lebih dari lima rakan negara ASEAN dan berada pada kedudukan kelima prestasi terbaik,” katanya.

Justeru, Kashif berkata pendekatan mampan Malaysia dapat memastikan ia mencapai kemajuan yang stabil dalam aspek perumahan tanpa memberi beban kepada kewangan kerajaan.

“Saya fikir Malaysia mempunyai kedudukan yang cemerlang untuk mengembangkan usahanya dengan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi dan perancangan bandar pintar bagi menambah baik bekalan rumah mampu milik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan