EKONOMI > BERITA

PMKS UTARA BOLEH GUNA PEMBIAYAAN MYCIF UNTUK KEMBANG PERNIAGAAN

18/02/2025 04:25 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 Feb (Bernama) -- Usahawan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di wilayah utara digalakkan untuk meneroka peluang pembiayaan baharu melalui Malaysia Co-Investment Fund (MYCIF).

MYCIF merupakan dana pelaburan bersama yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2019 untuk melabur secara bersama dalam PMKS melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pinjaman rakan setara (P2P).

Pengarah Eksekutif Inovasi dan Strategi Pendigitalan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dr Wong Huei Ching menekankan bahawa hanya 17 peratus perniagaan yang dibiaya melalui ECF dan P2P adalah dari wilayah utara, mencerminkan jurang ketara dalam kesedaran tersebut.

“Peratusan ini agak rendah. Itulah sebabnya kami menganjurkan jerayawara ini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi meningkatkan kesedaran selain menggalakkan PMKS merebut peluang untuk mengukuhkan perniagaan mereka melalui saluran pembiayaan alternatif seperti MyCIF,” katanya kepada media semasa Jerayawara Wilayah Utara@MyCIF di sini hari ini.

Jerayawara ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perdagangan, Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol dan turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan. 

Bertemakan “Memperkasakan Pembiayaan, Memacu Pertumbuhan”, acara ini dihadiri oleh 300 peserta, menampilkan 26 pengendali ECF dan P2P untuk membantu usahawan dalam mendapatkan maklumat mengenai opsyen pembiayaan yang ditawarkan sebagai alternatif kepada bank, geran dan sumber lain.

Wong berkata wilayah utara, yang menyumbang 20 peratus daripada PMKS Malaysia, dipilih untuk jerayawara tersebut memandangkan kepentingannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutama pertanian dan pembuatan.

Beliau menegaskan bertapa pentingnya untuk memperluaskan jerayawara MyCIF di seluruh negara, agar perniagaan di seluruh Malaysia mendapat  akses yang sama dengan opsyen pembiayaan alternatif seperti ini.

“Sesi hari ini direka dengan teliti bagi mendidik peserta mengenai pembiayaan ECF dan P2P, melengkapkan mereka dengan pengetahuan, alat serta sambungan yang diperlukan untuk mengakses opsyen pembiayaan tersebut,” kata Wong.

Dengan pelaburan awal melebihi RM260 juta, MyCIF telah membuat pelaburan bersama sebanyak melangkaui RM1 bilion dalam lebih daripada 9,000 PMKS, membantu perniagaan mengakses pembiayaan melalui platform ECF dan P2P. 

Di samping itu, Belanjawan 2025 telah memperuntukkan RM40 juta kepada MyCIF untuk mempromosikan inovasi dalam kewangan Islam, menyokong penggunaan pembiayaan perkongsian risiko Islam di platform ECF dan P2P. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan