SINGAPURA, 18 Feb (Bernama) --Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong hari ini membentangkan Penyata Belanjawan 2025 republik itu yang bertujuan untuk memajukan agenda Forward Singapore.
Belanjawan itu bertujuan untuk membina momentum bagi fasa pertumbuhan negara yang seterusnya ketika Singapura menyambut kemerdekaannya yang ke-60 (SG60) tahun ini.
Wong yang membentangkan Belanjawan pertamanya sebagai perdana menteri mengumumkan pelbagai insentif untuk menangani tekanan kos, memajukan pertumbuhan, melengkapkan pekerja, membina bandar mampan, memupuk masyarakat penyayang dan inklusif, dan menyatukan rakyat Singapura.
“Belanjawan ini dirangka berdasarkan belanjawan sebelumnya, bukan sahaja untuk menangani cabaran hari ini tetapi untuk merancang dan menjamin masa depan Singapura.
“Belanjawan 2025 adalah belanjawan untuk semua rakyat Singapura,” katanya ketika membentangkan Penyata Belanjawan yang bertemakan “Onward Together for A Better Tomorrow” (Maju Bersama untuk Masa Depan yang Lebih Baik), di Parlimen.
Wong berkata bagi tahun kewangan 2025 republik itu menjangkakan lebihan sebanyak S$6.8 bilion (S$1=RM3.31) atau 0.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Beliau berkata kutipan hasil negara bagi tahun kewangan 2024 adalah lebih baik daripada jangkaan, dengan Cukai Pendapatan Korporat kini menjadi penyumbang tunggal terbesar kepada jumlah hasil.
Dalam lampiran yang dikeluarkan kepada media, hasil operasi untuk tahun kewangan 2025 dianggarkan berjumlah S$122.78 bilion berbanding anggaran jumlah perbelanjaan sebanyak S$123.79 bilion.
Perbelanjaan mengurus bagi tahun kewangan 2025 dianggarkan berjumlah S$97.03 bilion manakala perbelanjaan pembangunan sebanyak S$26.76 bilion.
Wong berkata untuk menangani tekanan kos, kerajaan akan, antara lain, memberikan baucar sebanyak S$800 kepada setiap isi rumah Singapura dan rebat sehingga S$760 untuk membantu isi rumah yang layak menampung perbelanjaan utiliti.
Beliau juga mengumumkan pakej SG60 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan rakyat Singapura kepada pembinaan negara, termasuk rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 60 peratus untuk tahun taksiran 2025 dihadkan pada S$200 serta baucar bernilai sehingga S$800.
Sementara itu, rebat cukai pendapatan korporat 50 peratus juga akan diperkenalkan untuk menyediakan sokongan bagi keperluan aliran tunai syarikat ketika mereka terus menyesuaikan diri dengan kos sewa dan buruh yang tinggi.
Wong berkata Singapura juga akan memperkenalkan insentif cukai untuk syarikat berpangkalan di negara itu dan pengurus dana yang memilih untuk disenaraikan di Singapura dan mengembangkan aktiviti ekonomi mereka di sini.
“Saya juga akan memperkenalkan insentif cukai untuk pengurus dana yang banyak melabur dalam ekuiti tersenarai Singapura, untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam pasaran modal kami,” katanya.
Wong berkata Singapura akan mengkaji secara proaktif potensi penggunaan tenaga nuklear di negara itu dan mengambil langkah selanjutnya untuk membina keupayaan secara sistematik dalam bidang ini bagi menangani kekangan sumbernya.
Beliau juga mengumumkan tambahan S$5 bilion kepada Dana Tenaga Masa Depan yang ditubuhkan tahun lalu untuk menyokong usaha mendapatkan kuasa bersih untuk Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial