EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA DERIVATIVES CATAT PERTUMBUHAN 17 PERATUS DALAM KONTRAK FCPO PADA 2024

19/02/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Derivatives Bhd mencatat satu lagi pencapaian baharu tahun lepas dengan 18.95 juta kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) diniagakan, meningkat 17 peratus berbanding rekod sebelumnya sebanyak 16.21 juta kontrak pada 2023.

Pengarahnya Mohd Saleem Kader Bakas berkata ini merupakan bukti jelas bahawa FCPO ialah alat lindung nilai dan pengurang risiko yang menjadi pilihan dalam kalangan peniaga minyak makan dunia.

"Kami kekal fokus dalam mengukuhkan pasaran kami dengan meningkatkan ekosistem dan menambah baik produk kami bagi mengukuhkan kedudukan kami sebagai pusat pencarian harga minyak sawit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Bursa Malaysia Derivatives akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC 2025) ke-36 di sini dari 24-26 Februari  yang bakal menghimpunkan pemimpin industri, penganalisis, pembuat dasar, dan pihak berkepentingan untuk membincangkan trend dan cabaran yang membentuk industri itu, 

POC 2025 yang akan dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dijangka menarik lebih 2,000 perwakilan dari lebih 50 negara, katanya.

"Program tahun ini akan merangkumi pelbagai topik, termasuk dinamik penawaran-permintaan, strategi harga, serta kesan faktor-faktor makroekonomi dan geopolitik terhadap aliran perdagangan.

"Perbincangan yang diadakan juga akan meneroka aspek-aspek kemampanan dan kawal selia, bersama biodiesel dan oleokimia yang pengaruhnya semakin meningkat dalam pasaran.

"Selain itu, peserta akan mendapat pandangan mengenai bagaimana kemajuan inovasi mengubah industri ini," katanya.

Bursa Malaysia Derivatives menyatakan acara utama untuk edisi itu akan terus menampilkan barisan penceramah terkemuka melibatkan pakar-pakar industri global dan pembuat keputusan yang berpengaruh.

Pengerusinya Datuk Muhamad Umar Swift, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk Bursa Malaysia Bhd berkata selama hampir empat dekad, persidangan minyak sawit itu kekal sebagai saluran yang dicari-cari oleh pemain-pemain industri dan peserta pasaran untuk membincangkan idea dan meneroka strategi berfikir ke hadapan yang boleh memacu pertumbuhan industri.

"Walaupun berlakunya pergerakan pasaran dan dinamik aliran perdagangan, POC kekal kukuh sebagai platform pengetahuan untuk industri dan pemadanan perniagaan yang sesuai. Penyertaan meningkat setiap tahun, dan edisi kali ini telah mencatatkan prapendaftaran yang meningkat lebih 10 peratus," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan