EKONOMI > BERITA

PERASMIAN HAB HALAL PARIS BAGUETTE TINGKAT HUBUNGAN EKONOMI MALAYSIA-KOREA SELATAN

25/02/2025 11:25 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pembukaan kilang kedai roti halal Paris Baguette di Johor merupakan kemajuan yang signifikan dalam mengukuhkan hubungan ekonomi serta pelaburan antara Malaysia dan Korea Selatan, kata Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae.

Pelaburan SPC Group ini adalah langkah penting yang bukan sahaja telah mempelbagaikan usaha perniagaan Korea di Malaysia tetapi turut menandakan penglibatan yang lebih mendalam dalam industri halal, beliau memberitahu Bernama.

"Pelaburan SPC dalam membangunkan hab makanan halal Paris Baguette menjadi signifikan atas dua sebab. Pertama, ia mewakili kepelbagaian pelaburan Korea di Malaysia di luar sektor tradisional seperti semikonduktor dan industri berat,” katanya.

"Kedua, ia menyoroti tumpuan yang semakin meningkat terhadap industri halal ketika syarikat Korea sedang meneroka pengembangan global," katanya lagi.

Pasaran halal semakin menjadi tumpuan strategik bagi syarikat-syarikat Korea, didorong oleh permintaan yang semakin menokok bagi produk halal di Asia Tenggara dan seterusnya. 

“Banyak syarikat Korea, yang diilhamkan oleh pengaruh global gelombang Korea ('Hallyu'), sedang mencari peluang untuk memanfaatkan pasaran pengguna Islam,” katanya.

“Memandangkan Malaysia merupakan pemimpin global dalam industri halal, kami menjangkakan kerjasama lebih lanjut dalam sektor ini,” tambah Yeo. 

 Duta Besar itu turut menekankan peranan Johor sebagai hab ekonomi kritikal sehingga mampu menarik pelaburan Korea yang signifikan dalam pelbagai sektor. 

"Johor adalah destinasi ekonomi utama bagi perniagaan Korea. Selain Hub Makanan Halal SPC, lebih kurang 30 firma Korea sedang beroperasi di Johor, merangkumi industri seperti keluli, bahan kimia serta produk pengguna," katanya.

Selama bertahun-tahun, pelaburan Korea di Johor telah berkembang melangkaui industri berat seperti keluli (Kiswire) dan bahan kimia (Lotte dan LG) ke dalam perniagaan yang berfokus pada pengguna, dengan kilang SPC menjadi contoh utama peralihan ini.

Kelebihan strategik geografi Johor serta dasar peringkat negeri yang mantap seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah antara faktor yang akan memacu pelaburan masa depan. 

"Sektor yang dipromosikan di bawah JS-SEZ - teknologi termaju, tenaga hijau dan pendidikan -menawarkan potensi besar bagi Korea Selatan serta Johor untuk bekerjasama seterusnya," jelas beliau.

Di luar pelaburan ekonomi, Korea Selatan telah memperdalam penglibatannya dalam sektor halal Malaysia melalui pelbagai inisiatif.

Yeo menjelaskan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semasa lawatannya ke Korea Selatan tahun lepas, menggalakkan perniagaan Korea Selatan untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam usaha yang berkaitan dengan halal. 

“Kedutaan kami telah berusaha ke arah matlamat ini. Pada Jun ini, kami akan menganjurkan ‘Minggu Korea' di Kuala Lumpur, yang menampilkan pameran produk Korea yang disahkan halal termasuk daging lembu Korea yang halal 'Hanwoo',” katanya.

Penyertaan Korea Selatan sedang meningkat melalui pameran perdagangan halal terkemuka di Malaysia atau MIHAS selain kerjasama yang berterusan dengan Perbadanan Pembangunan Halal dan Jakim mengenai piawaian pensijilan halal.

“Lebih bagus jika kerajaan Malaysia boleh menawarkan insentif khas kepada syarikat-syarikat Korea yang ingin berkembang memasuki sektor halal,” katanya.

“Jika lebih banyak perniagaan Korea menggunakan Malaysia sebagai platform menembusi pasaran halal global, ini akan mewujudkan senario menang-menang untuk kedua-dua negara,” katanya.

Pembukaan hab makanan halal pertama Paris Baguette di Johor telah diadakan di Nusajaya Tech Park hari ini, dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Seiring dengan ulang tahun ke 65 hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Selatan tahun ini, Yeo menekankan bahawa hubungan dua hala ini telah mencapai kemuncak baharu selepas hubungan ini melonjak melalui perkongsian strategik. 

"Salah satu hasil utama lawatan Perdana Menteri ke Korea Selatan pada November lepas adalah bagi mengesahkan komitmen kami untuk memperdalam perkongsian di seluruh domain politik, ekonomi, sosial dan budaya," katanya.

 Dengan Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2025 dan Korea Selatan yang mempengerusikan APEC tahun ini, Yeo menjangkakan peningkatan dalam pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

“Satu lagi peristiwa penting yang kami sedang bergerak ke arah itu adalah pemuktamadan Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Malaysia (FTA) pada 2025. 

“Rundingan sedang berjalan dengan baik dan selepas diselesaikan, ianya akan memperdalam hubungan ekonomi, terutama dalam tenaga hijau, transformasi digital dan bioteknologi,” katanya. 

Pembelian 18 pesawat latihan dan tempur ringan Malaysia dari Korea Selatan juga mencerminkan kerjasama yang mantap dalam sektor pertahanan.

"Projek ini berjalan lancar, dengan lebih daripada 50 peratus proses pembinaan selesai.

“Ia bukan sekadar kerjasama pertahanan tetapi juga merupakan sumbangan kepada industri Malaysia melalui pemindahan teknologi dan kerjasama penyelenggaraan," katanya.

Di luar kerjasama ekonomi, Johor adalah hos kepada komuniti ekspatriat Korea yang semakin berkembang, dengan kira-kira 1,300 orang Korea Selatan tinggal di negeri ini, menjadikannya sebagai komuniti Korea kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. 

Johor terkenal di kalangan orang Korea kerana infrastruktur hidup dan pendidikannya yang sangat baik.

"Kedutaan kami tetap komited untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk kami sambil mengekalkan hubungan rapat dengan Persatuan Korea Johor," kata Yeo. 

Persatuan itu secara aktif menganjurkan kelas bahasa Korea dan acara kebudayaan, memupuk integrasi serta hubungan yang lebih dekat dengan masyarakat setempat.

“Kami berharap melalui pertukaran-pertukaran ini, orang Korea akan dapat menjadi jiran yang baik di Johor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan