EKONOMI > BERITA

HLTF-EI BINCANG KAJIAN PENGGAL AKHIR PELAN TINDAKAN AEC 2025

25/02/2025 07:13 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KOTA TINGGI, 25 Feb (Bernama) -- Kajian Akhir Penggal Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) ke-47.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata HLTF-EI telah menyemak draf laporan mengenai Kajian Akhir Penggal serta Kajian Hasil dan Impak Pelan Tindakan AEC 2025.

Beliau berkata beberapa persetujuan utama telah terhasil daripada mesyuarat itu, termasuk memastikan ketepatan fakta laporan melalui semakan teliti oleh Sekretariat ASEAN, serta memuktamadkan laporan tersebut secara inter-sesi menjelang April 2025 dan menyerahkannya kepada Majlis AEC untuk notasi pada Mei 2025.

“Kajian Akhir Penggal Pelan Tindakan AEC 2025 bukan sahaja cerminan kepada pencapaian kita malah juga asas bagi fasa seterusnya dalam penyepaduan ekonomi ASEAN. Semua ini adalah mengenai pembelajaran, penyesuaian, dan inovasi untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas MITI menjadi hos bagi majlis makan malam alu-aluan Mesyuarat HLTF-EI ke-47 di Desaru di sini, pada Isnin.

Mengenai perkembangan berkaitan Pemantauan Pematuhan bagi Pelan Tindakan AEC 2025, Hairil Yahri berkata HLTF-EI telah menyemak kemajuan pelaksanaannya justeru, badan-badan sektor digesa menyelesaikan aktiviti masing-masing tahun ini.

Beliau berkata tindakan utama susulan mesyuarat itu termasuk mengesyorkan agar kalangan Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Majlis AEC memberikan tugas kepada badan-badan sektor dan Sekretariat ASEAN untuk mengemaskinikan Matriks Hasil, termasuk langkah berterusan sehingga 2026.

Selain itu, Sekretariat ASEAN akan menyediakan kemas kini mengenai status terkini menjelang Mesyuarat Majlis AEC ke-28 pada November 2025, katanya.

“Pelan Tindakan AEC 2025 adalah peta hala tuju kita untuk menjadi sebuah komuniti ekonomi bersepadu sepenuhnya. Pemantauan pematuhan memastikan kita berada di landasan, mencatatkan keberhasilan yang boleh diukur sekali gus memberi manfaat kepada semua warga ASEAN,” katanya.

Hairil Yahri berkata Mesyuarat HLTF-EI ke-47 merupakan bukti komitmen kolektif ASEAN terhadap daya tahan, kemampanan, dan keterangkuman ekonomi.

“Ketika Malaysia menerajui Kepengerusian ASEAN 2025, hasil mesyuarat ini akan membentuk trajektori ekonomi rantau ini, memastikan ASEAN kekal sebagai sebuah kuasa besar ekonomi global,” katanya.

Selepas penutupan mesyuarat itu hari ini, Mesyuarat Persediaan Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Pemukiman AEM ke-31 akan berlangsung pada 26 dan 27 Februari.

Kalangan AEM dijadualkan menghadiri pemukiman yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pada 28 Februari.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan