BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH MAYBANK LEPASI RM10 BILION PADA TAHUN KEWANGAN 2024, PEROLEHAN RM68.94 BILION

26/02/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10.09 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, meningkat 7.9 peratus berbanding RM9.35 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan 2023.

Perolehannya pula meningkat kepada RM68.94 bilion daripada RM63.52 bilion sebelumnya.

Kumpulan perbankan tersebut berkata pendapatan faedah bersih dan perbankan Islam bagi tahun kewangan 2024 meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun kepada RM21.15 bilion.

Maybank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, prestasi perkhidmatan insurans/takafulnya melonjak sebanyak 133.5 peratus kepada RM1.28 bilion. 

Pendapatan operasi lain bagi tahun kewangan 2024 sebanyak RM9.07 bilion, meningkat 13.5 peratus tahun ke tahun berbanding RM7.99 bilion pada tahun kewangan 2023.

Sementara itu, perbelanjaan overhed kumpulan bagi tahun kewangan 2024 naik sebanyak 8.0 peratus kepada RM14.46 bilion, khususnya disebabkan oleh kenaikan perbelanjaan personel (RM817.3 juta), kos penubuhan yang lebih tinggi (RM207.1 juta) dan perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi (RM68.4 juta).

Peningkatan tersebut bagaimanapun dikurangkan melalui perbelanjaan pentadbiran dan am yang lebih rendah iaitu sebanyak RM21.4 juta.

Maybank berkata peruntukan bersih bagi rosot nilai ke atas pinjaman, pembiayaan dan hutang lain menurun sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.67 bilion manakala masuk kira semula bersih bagi rosot nilai ke atas pelaburan kewangan susut sebanyak RM138.2 juta kepada RM42.4 juta berbanding tahun kewangan 2023.

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2024, untung bersih kumpulan perbankan berkenaan naik kepada RM2.53 bilion daripada RM2.39 bilion pada suku keempat 2023 manakala perolehan berkembang kepada RM16.74 bilion daripada RM16.17 bilion sebelumnya.

Pendapatan faedah bersih dan perbankan Islamnya bagi suku keempat bertambah sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM5.37 bilion manakala keputusan bagi perkhidmatan insurans/takaful meningkat kepada RM352.7 juta.

Maybank berkata berbanding pertumbuhan ekonomi yang kukuh dijangka dalam pasaran tempatannya, bank ini berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong kitaran naik pelaburan swasta dan awam bagi projek ekonomi utama.

"Seiring dengan pelan strategik M25+ yang berada pada tahun terakhir, Maybank akan mempercepatkan inisiatif yang dikenal pasti di bawah 14 program strategiknya yang bertujuan memperkukuh tumpuan kepada pelanggan selain mempercepatkan pemodenan digital serta teknologi bagi mengukuhkan kehadirannya di rantau ini," katanya.

Kumpulan perbankan itu menyasarkan untuk terus menggandakan penembusan pangkalan pelanggan yang luas melalui tumpuan kepada segmen tertentu, usaha jualan silang dan memanfaatkan perkongsian ekosistem di peringkat serantau selain memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan pesat dalam pengurusan kekayaan, pasaran pertengahan, bukan runcit dan segmen bankasurans.

"Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan ini menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) pulangan ke atas ekuiti yang lebih besar atau sama dengan 11.3 peratus untuk tahun kewangan 2025," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan