EKONOMI > BERITA

SEKTOR AUTOMOTIF MALAYSIA BERALIH KEPADA PERTUMBUHAN E-MOBILITI - TENGKU ZAFRUL

03/03/2025 03:43 PM

RAWANG, 3 Mac (Bernama) -- Industri automotif Malaysia sedang menyesuaikan dengan permintaan global untuk penyelesaian e-mobiliti, membentuk semula rantaian bekalan dan proses pembuatan sejajar dengan dasar kerajaan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.  

Beliau berkata Malaysia menyasarkan bukan sahaja untuk mengikuti trend global tetapi menerajui rantau ini dalam teknologi mobiliti pintar dan cekap tenaga.

“Bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, pemain industri perlu sedar bahawa asas industri yang kukuh tidak dibina dalam masa yang singkat. MITI, melalui pelbagai agensinya dan kementerian lain yang terlibat, memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan.

“Kami membina dan memberi keutamaan kepada pertumbuhan yang dipacu oleh teknologi dan pengetahuan dengan menarik pelaburan yang sesuai, mempromosikan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia serta meningkatkan kerjasama kami dengan rakan global,” katanya pada majlis pelancaran pusat R&D baharu Betamek Bhd di sini hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan turut menekankan kepentingan syarikat tempatan Malaysia menceburi bidang R&D untuk meningkatkan rantaian nilai.

“Jika kita melihat kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, terdapat tumpuan kepada syarikat yang meningkatkan rantaian nilai dan kami tidak dapat mencapainya tanpa melabur dalam R&D,” katanya.

Mengenai kemudahan baharu Betamek, katanya pusat R&D itu melambangkan fasa baharu syarikat dan langkah penting ke arah matlamat Malaysia untuk menjadi ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi. 

Tengku Zafrul berkata Betamek, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik terkemuka dan pengeluar reka bentuk asal untuk industri automotif, antara syarikat yang memacu inovasi.

“Kita memerlukan pemain industri seperti Betamek untuk memacu inovasi dan mengkomersialkan teknologi baharu.  

“Inisiatif seperti pelancaran pusat R&D hari ini menunjukkan bagaimana syarikat Malaysia melabur dalam R&D untuk meningkatkan dan menempatkan diri mereka untuk masa depan,” katanya.  

Pengembangan R&D Betamek sejajar dengan Dasar Automotif Negara 2020, yang menyasarkan Malaysia sebagai hab serantau untuk penyelidikan, pembangunan dan inovasi automotif.

Pusat ini akan memberi tumpuan kepada sistem bantuan pemandu, penyelesaian sambungan kenderaan dan teknologi kokpit pintar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan