EKONOMI > BERITA

KERAJAAN KOMITED KURANGKAN DEFISIT FISKAL 3.8 PERATUS TAHUN INI - AMIR HAMZAH

03/03/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan terus komited dalam usaha mengurangkan defisit fiskal dengan unjuran 3.8 peratus pada 2025, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata ini sejajar dengan komitmen utama kerajaan MADANI untuk mengurangkan kadar defisit secara berperingkat dan konsisten daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023 dan seterusnya 4.1 peratus pada 2024.

Pengurangan defisit itu, katanya, akan menurunkan pertumbuhan jumlah hutang dengan pengurangan peminjaman hutang baharu setiap tahun oleh kerajaan iaitu daripada hampir RM100 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya pada sekitar RM77 bilion pada 2024.

"Trend penurunan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dikurangkan supaya tidak melebihi 60 peratus dan defisit fiskal pada kadar tiga peratus dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana seperti ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.

"Oleh itu, secara umumnya, kita berada di landasan bagi mencapai ketetapan digariskan dalam FRA pada penghujung 2028 bermula dengan mencapai defisit tiga peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini. 

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata Belanjawan 2025 turut menyaksikan kerajaan menetapkan strategi mengurangkan peruntukan perbelanjaan pembangunan kepada RM86 bilion ringgit.

Menurutnya, walaupun ini selaras dengan pengurangan defisit fiskal, usaha lain yang tetap dilaksanakan adalah seperti projek secara usaha sama awam swasta (PFI) bernilai RM9 bilion dan juga komitmen pelaburan langsung domestik syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM25 bilion. 

Strategi itu meningkatkan pelaburan awam kepada RM120 bilion untuk 2025 agar dapat merancakkan pertumbuhan walaupun dengan kadar hutang baharu yang lebih rendah, kata beliau. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan