KUCHING, 3 Mac (Bernama) -- SMD Semiconductor berjaya mempamerkan inovasi semikonduktornya yang terkini di MWC Barcelona 2025, yang berlangsung pada 3 hingga 6 Mac di Fira de Barcelona Gran Via, Sepanyol.
SMD Semiconductor merupakan entiti milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak yang diperbadankan melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC).
SMD dalam satu kenyataan hari ini berkata demonstrasi secara langsung prototaip 'Ultra Edge Power Converter' merupakan jawapan kepada revolusi kecerdasan buatan (AI) semasa, yang kini sedang mengubah pelbagai industri di seluruh dunia.
“Peningkatan baharu ini membawa peluang dan cabaran terhadap satu daripada isu penting iaitu tekanan yang semakin meningkat terhadap ketersediaan pusat data dan pengurusan tenaga grid,” katanya.
SMD turut mengumumkan pelancaran rasmi Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 – Beyond Moore’s Law, satu pelan strategik yang direka untuk memacu kemajuan teknologi, meningkatkan ketahanan rantaian bekalan, dan mengangkat sektor semikonduktor Sarawak ke peringkat global.
“Pelan ini menyediakan rangka kerja yang komprehensif untuk merangsang inovasi, mengukuhkan keupayaan pembuatan domestik, dan membangunkan tenaga kerja yang sangat mahir untuk memenuhi permintaan industri pada masa depan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) turut menyertai acara itu di bawah Pavilion Sarawak.
Acara ini menghimpunkan ribuan peserta, termasuk eksekutif tertinggi dan inovator dari sektor mudah alih dan ketersambungan.
Bertemakan ‘Converge. Connect. Create.’ MWC Barcelona tahun ini memberi tumpuan kepada impak transformasi 5G, AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT) terhadap masa depan ketersambungan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial