KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) merekodkan transaksi jualan berjumlah RM21.3 juta pada acara PERNAS International Franchise Festival (PIFF) 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Februari lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian itu melangkaui sasaran yang ditetapkan iaitu RM12 juta.
“PIFF 2025 mencatat nilai jualan yang membanggakan melebihi sasaran RM9.3 juta untuk keseluruhan tempoh tiga hari penganjurannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pernas merupakan agensi yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ewon berkata penganjuran acara itu bukan sahaja mempromosikan ekosistem keusahawanan francais terutama dalam sektor kopi dan kafe, tetapi juga membantu pertumbuhan ekonomi negara.
PIFF 2025 menyaksikan penyertaan 83 jenama dari 10 negara termasuk Malaysia, China, Taiwan, Korea, Indonesia, Vietnam, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Thailand dan berjaya menarik lebih 16,000 pengunjung.
Festival yang bertemakan “Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs” itu memberi tumpuan kepada industri kopi, teh dan kafe serta menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk, forum antarabangsa dan pertandingan "Latte Art".
PIFF 2025 turut menyaksikan pelancaran Dasar Francais Negara 2030 serta pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) PERNAS bersama SME Corp, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan TERAJU.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial