KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengenal pasti DEFA sebagai antara Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Katanya sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berperanan dalam menggerakkan agenda utama integrasi ekonomi serantau di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2025, yang menekankan komitmen terhadap pembangunan saksama dan merapatkan jurang pembangunan.
“Ke arah itu, Malaysia menekankan dua pendekatan utama untuk melancarkan proses rundingan DEFA. Pendekatan pertama ialah program peningkatan keupayaan dasar negara-negara anggota ASEAN.
“Fokus diberi kepada bidang pendigitalan yang lebih kompleks dan terkini, terutamanya dalam penggunaan teknologi digital, pengurusan data dan perlindungan siber dalam rantaian perdagangan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Amzah Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu mengenai langkah Malaysia untuk memastikan DEFA merapatkan jurang pembangunan digital antara negara anggota dan memastikan transformasi digital yang inklusif di rantau ini.
Liew berkata pendekatan kedua adalah menekankan pelaksanaan DEFA secara berperingkat dan berfasa seperti yang diamalkan ASEAN dalam pembentukan Komuniti Ekonomi terutamanya dalam perjanjian perdagangan bebas.
“DEFA sememangnya selari dengan agenda negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipacu digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital pada 2030,” katanya.
Katanya ia selari dengan dasar kebangsaan seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar sektoral kelolaan MITI iaitu Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Dalam memastikan kepentingan dan pendirian Malaysia terpelihara dalam rundingan DEFA, katanya pelaksanaan inisiatif di bawah dasar itu dijadikan asas persediaan.
“Kerajaan akan meneruskan usaha strategik untuk memastikan tahap ketersediaan negara-negara ASEAN dalam memuktamadkan DEFA agar rantau ini dan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global, demi meraih manfaat ekonomi dan sosioekonomi yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial