EKONOMI > BERITA

WOU BEKERJASAMA DENGAN TIGA SYARIKAT BAGI PERKUKUH SEMIKONDUKTOR PULAU PINANG

06/03/2025 03:27 PM

GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) -- Wawasan Open University (WOU) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat bagi meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor semikonduktor dan pembuatan di Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Kerjasama dengan TTVision Technologies Sdn Bhd, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Clarion (Malaysia) Sdn Bhd bermatlamat melengkapkan 200 profesional teknikal dan kejuruteraan dengan kemahiran kritikal yang penting untuk kejayaan dalam era Industri 4.0.

Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif WOU Prof Dr Lily Chan berkata MoU ini meletakkan WOU sebagai rakan kerjasama dalam pembangunan kemahiran utama bagi tiga syarikat tersebut.

Katanya, ia mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam menyediakan pendidikan mudah diakses serta relevan dengan industri.

"Kerjasama tersebut menunjukkan bagaimana universiti dan industri boleh bekerjasama rapat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang sentiasa berkembang.

"Dengan mengintegrasikan pandangan industri ke dalam kurikulum kami, kami sedang menyediakan profesional untuk berkembang selain berdepan cabaran global yang semakin pesat," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis memeterai MoU yang diadakan di kampus utama WOU di sini hari ini.

Chan berkata kerjasama ini seiring dengan inisiatif strategik Pulau Pinang bagi membangunkan tenaga kerja yang mahir dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, automasi dan elektronik automotif.

"Usaha tersebut juga menyokong program pembangunan bakat serantau dari Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia," katanya.

Melalui kerjasama berkenaan, WOU akan menyediakan TTVision dengan Sijil dalam Analitik Pembuatan Berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang merangkumi bidang utama seperti IoT, analitik data dan integrasi robotik bersama dengan kursus pendek yang boleh ditambah ke arah ijazah dalam Kejuruteraan Mekatronik atau Pembuatan Pintar.

Bersama Oppstar pula, WOU akan memperkenalkan Sijil Profesional dalam Rekabentuk Litar Tersepadu (IC) yang memberi tumpuan kepada Rekabentuk Litar Metal-Oksida Semikonduktor Pelengkap (CMOS) dan Rekabentuk Litar Isyarat Campuran serta Rekabentuk IC Digital.

Pensijilan ini membolehkan peserta memperoleh jam kredit ke arah Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Reka Bentuk Sistem di WOU.

Kerjasama dengan Clarion Malaysia akan menyediakan pekerjanya akses untuk memperoleh kelayakan pascasiswazah termasuk Sarjana Sains dalam Pembuatan Pintar selain Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Pengeluaran dan Pengurusan Pembuatan yang membekalkan mereka dengan kemahiran teknikal dan kepimpinan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan