EKONOMI > BERITA

OPR KONSISTEN DENGAN PROSPEK EKONOMI MALAYSIA - GABENOR

06/03/2025 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Berikut adalah wawancara dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi Mac:-

1. Apakah keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari mengenai kadar dasar semalaman hari ini?

Jawapan: MPC memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus. Keputusan ini konsisten dengan penilaian kami mengenai prospek ekonomi Malaysia yang menunjukkan pertumbuhan berdaya tahan dan inflasi stabil. 

 

2. Mengapakah MPC mengekalkan OPR tidak berubah pada 3.0 peratus untuk kali ini? Apakah pandangan BNM berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri?  

Jawapan: MPC menyasarkan untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. Untuk melakukannya, kami mengambil kira trajektori inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang apabila menetapkan OPR.  

Mari kita mulakan dengan pertumbuhan. Walaupun berhadapan dengan cabaran dalam ekonomi global, prestasi ekonomi Malaysia adalah baik, berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024. Selanjutnya, kami menjangkakan perbelanjaan dalam negeri yang berterusan akan terus memacu pertumbuhan. Khususnya, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar. Sokongan dasar ini termasuk kenaikan gaji untuk penjawat awam dan kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa pada 1 Februari tahun ini.  

Selain perbelanjaan isi rumah, pelaburan kekal sebagai pendorong pertumbuhan ekonomi negara. Sektor swasta terus melabur, terutamanya dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), automotif, makanan dan minuman (F&B) dan harta tanah. Yang sangat penting, aktiviti pelaburan mantap ini akan membantu meningkatkan keupayaan produktif Malaysia.

Peningkatan ini membolehkan ekonomi kita menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan seiring peredaran masa untuk memenuhi permintaan masa depan untuk pasaran di dalam dan luar negara, tanpa menghasilkan tekanan harga yang berlebihan. Meskipun dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana berikutan ketidakpastian global, eksport akan terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan berterusan dalam sektor bukan E&E negara dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi. Khususnya, unjuran pertumbuhan dalam perbelanjaan pelancong akan diperkukuh oleh permintaan perjalanan global yang meningkat dan pertambahan sambungan penerbangan.  

Sekarang saya beralih kepada inflasi. Inflasi dijangka kekal terkawal pada 2025. Kami menjangkakan tekanan permintaan juga kekal sederhana. Yang penting, keadaan kos global semakin reda. Hal ini didorong oleh faktor seperti harga tenaga, makanan dan komoditi pertanian yang lebih rendah. Terdapat beberapa pembaharuan dasar dalam negeri yang dijangka berlaku tahun ini. Pembaharuan ini termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan rasionalisasi subsidi RON95. Kami terus menilai kesan pembaharuan ini terhadap inflasi tetapi buat masa ini, kesannya dijangka terkawal.

Izinkan saya jelaskan sebabnya. Pelarasan yang dirancang terhadap SST akan memberikan kesan terutamanya kepada makanan bukan keperluan dan produk tahan lama. Item ini merupakan sebahagian kecil daripada kumpulan indeks harga pengguna Malaysia yang membentuk inflasi keseluruhan. Berkenaan rasionalisasi subsidi RON95 pula, pendekatan bersasar bertujuan meminimumkan kesan terhadap kos sara hidup.

Seperti yang anda dapat lihat menerusi laporan berita, ketidakpastian dasar perdagangan dan perkembangan geopolitik terus berlaku di luar negara. Malaysia merupakan sebuah ekonomi kecil dan terbuka. Maka, kita perlu mempertimbangkan perkembangan peringkat global, termasuk pertumbuhan ekonomi global, perdagangan, keadaan kos dan peristiwa geopolitik serta kesan kesemua perkembangan ini terhadap negara.

MPC memantau semua perkembangan ini secara teliti dan terus peka akan kemungkinan adanya kesan limpahan terhadap ekonomi dalam negeri selain kami terus mengekalkan persekitaran kestabilan harga yang kondusif untuk pertumbuhan mampan Malaysia.

Berdasarkan prospek semasa Malaysia, kami telah membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus iaitu tahap yang akan terus memberikan sokongan pada ekonomi. Keadaan kredit juga kekal menyokong keperluan pembiayaan isi rumah dan perniagaan ketika ekonomi Malaysia terus berkembang. 

 

3. Berhubung dengan perkembangan luaran, sejauh manakah Malaysia bersedia menghadapi ketidakpastian perdagangan global berikutan pelantikan Presiden Trump sebagai Presiden AS untuk penggal kedua? 

Jawapan: Soalan ini tepat pada masanya. Saya faham ramai yang bimbang mengenai ketidakpastian global ini dan kesannya kepada ekonomi Malaysia. Kesemua perkembangan penting ini juga perlu dipertimbangkan oleh MPC sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan. Kami terus menilai kesan peristiwa global terhadap trajektori pertumbuhan dan inflasi Malaysia berikutan ketidakpastian mengenai dasar perdagangan global.

Sebagai ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak akan terkecuali daripada peristiwa yang boleh menjejaskan perdagangan dan pertumbuhan global. Meskipun begitu, penilaian MPC mendapati ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan walaupun terdapat ketidakpastian luaran ini. Pertumbuhan akan disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang terus kukuh.

Ekonomi Malaysia yang pelbagai serta asas eksport negara yang luas akan bertindak untuk mengurangkan sebarang kesan daripada kejutan luaran. Negara memiliki beberapa penggerak pertumbuhan dan ekonomi tidak bergantung pada satu sumber pertumbuhan sahaja. Sebagai contoh, walaupun Malaysia ialah negara perdagangan dengan sumbangan yang mantap daripada aktiviti perkilangan, sektor perkhidmatan negara juga memberikan sumbangan yang ketara dan merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan ekonomi Malaysia. 

Negara juga mempunyai struktur eksport yang pelbagai. Struktur ini membantu kita menghadapi cabaran luaran. Produk eksport dan rakan dagangan Malaysia yang pelbagai memastikan bahawa kita tidak terlalu bergantung pada satu produk atau pasaran sahaja. Pada 2024, sebagai contoh, walaupun 40 peratus daripada jumlah eksport negara terdiri daripada produk E&E, baki 60 peratus merangkumi pelbagai barangan siap bukan E&E serta produk pertanian dan mineral.

Malaysia mengekalkan rangkaian perdagangan yang meluas di pelbagai negara dan rantau. Dalam mengemudi ketidakpastian perdagangan global, Malaysia secara aktif terus meneroka peluang baharu dan memupuk pertumbuhan melalui pengukuhan perdagangan dengan rakan serantau seperti blok ASEAN.

Penting untuk kita mengusahakan integrasi serantau yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN lain untuk meningkatkan prospek perdagangan negara memandangkan ASEAN kekal sebagai antara rakan dagangan utama Malaysia. 

Hal ini juga menekankan kepentingan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan di Malaysia untuk terus mengukuhkan lagi asas ekonomi negara. Peranan aktif kerajaan dalam menyokong pelaburan penting dan meningkatkan keupayaan industri di bawah beberapa pelan induk nasional akan mengukuhkan lagi daya tahan Malaysia.

Semua faktor ini, iaitu prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan, pembaharuan struktur dalam negeri berserta inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran akan memberikan sokongan kepada ringgit dan menghadapi volatiliti pasaran yang ketara pada masa depan.

Perkongsian saya setakat ini lebih berbentuk ringkasan. Jika anda berminat untuk membaca lebih lanjut mengenai pandangan BNM berhubung topik ini, anda boleh merujuk Laporan Tahunan serta Tinjauan Ekonomi dan Monetari BNM yang akan diterbitkan pada 24 Mac.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan