EKONOMI > BERITA

DNB, META JALIN KERJASAMA TUBUH MAKMAL INOVASI DI MALAYSIA

07/03/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) dan Meta bekerjasama untuk menubuhkan makmal inovasi bersama di Malaysia bagi meningkatkan ketersambungan suara dan video pada platform Meta secara ketara.

Platform Meta termasuk WhatsApp, Facebook dan Instagram.

Dalam satu kenyataan hari ini, DNB berkata makmal inovasi itu akan menumpukan kepada usaha memacu kemajuan bagi mengukuhkan kualiti pengalaman untuk perkhidmatan komunikasi masa nyata (RTC) di platform media sosial dan pemesejan milik Meta, dengan memanfaatkan kuasa ketersambungan 5G.

“Cadangan kerjasama ini menekankan keperluan kritikal bagi memastikan penyampaian ketersambungan suara dan video berkualiti tinggi serta lancar kepada pengguna, selain memperoleh pengalaman yang terbaik.

Menurut DNB, pengumuman dibuat di Pavilion Malaysia ketika Kongres Mudah Alih Sedunia 2025, yang menekankan mengenai kepentingan strategik kerjasama tersebut.

Katanya, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memuktamadkan syarat-syarat kerjasama yang dicadangkan itu.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, DNB berkata, makmal inovasi bersama itu menyasarkan untuk mengoptimumkan prestasi rangkaian dan membangunkan teknologi terkini bagi memperkasa kualiti pengalaman RTC. 

Katanya, objektif utama makmal itu termasuk membangunkan penyelesaian inovatif, mengukuhkan teknik pengoptimuman rangkaian bagi mengurangkan kependaman dan meningkatkan kadar bit untuk komunikasi lebih lancar dan menambah baik pengalaman pengguna bagi pelanggan rangkaian 5G DNB.

“Dengan memanfaatkan kemajuan terkini teknologi 5G, inisiatif ini dijangka memberi kesan yang besar terhadap landskap digital secara keseluruhan di Malaysia dan memupuk persekitaran komunikasi yang lebih berhubung serta cekap.  

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Teknologi DNB Ken Tan berkata DNB dan Meta boleh memacu inovasi dan menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan pengendali rangkaian mudah alih dan pengguna akhir mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan