Daripada Zairina Zainudin
BARCELONA (Sepanyol), 7 Mac (Bernama) -- Malaysia meraikan pencapaian penting di pentas global apabila ZTE Corporation memenangi Anugerah Inovasi Faundri GSMA yang berprestij bagi “Minimalis 5G Peribadi untuk Hiburan.”
Anugerah tersebut disampaikan pada Anugerah Mudah Alih Global sewaktu penganjuran program Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2025.
Anugerah berkenaan mengiktiraf penggunaan inovatif penyelesaian 5G-Advanced ZTE dalam menyampaikan siaran langsung pertama di dunia yang menggunakan 5G-A untuk temasya Sukan Malaysia 2024 (SUKMA 2024) dengan kerjasama CelcomDigi, U Mobile dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Mengulas mengenai pencapaian anugerah tersebut, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang berada di Sepanyol untuk lawatan kerja selama dua hari berkata anugerah itu menjadi bukti kepada kedudukan Malaysia sebagai pintu gerbang inovasi 5G di rantau ASEAN.
"Ia mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk meningkatkan kesalinghubungan, memajukan teknologi dan memperkaya kehidupan rakyat Malaysia.
"Kami terus komited untuk memacu kerjasama serantau selain menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila teknologi bertemu dengan cita-cita," katanya.
Teo mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil semasa melakukan lawatan kerja tersebut.
Selain SUKMA 2024, penyelesaian ini turut digunakan pada acara penting termasuk temu bual secara siaran langsung dengan kerjasama Mobile World Live di MWC Barcelona 2025.
Penyelesaian ini menerajui aliran baharu dalam perubahan industri.
Kemenangan dan pengiktirafan di MWC Barcelona 2025 mengesahkan visi strategik Malaysia sebagai platform untuk kemajuan teknologi transformatif selain menggambarkan impak dunia sebenar kesalinghubungan 5G-A dalam meningkatkan siaran acara langsung dan seterusnya.
Dalam pada itu, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pelaksanaan 5G di negara ini kini mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk.
Katanya, Malaysia juga menyaksikan pertumbuhan dalam beberapa aplikasi selain kes penggunaan yang disokong 5G termasuk SUKMA 2024.
"Inisiatif berkenaan meletakkan asas bagi infrastruktur digital yang kukuh, memastikan akses berkelajuan tinggi kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menikmati serta berinteraksi dengan kandungan digital secara lancar,” katanya.
MWC yang baru sahaja melabuhkan tirai mengumpulkan pemimpin global, syarikat pemula niaga dan teknologi termaju untuk meneroka cara kecerdasan buatan (AI), 5G Advance dan inovasi dalam membentuk masa depan.
Majlis yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac itu menarik lebih daripada 101,000 pengunjung dan 2,700 pempamer global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial