EKONOMI > BERITA

ASEAN PERLU MANFAAT AUSTRALIA BAGI TINGKAT KETAHANAN EKONOMI - MGBF

08/03/2025 03:12 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- ASEAN perlu membangunkan strategi yang selari dengan melibatkan ekonomi utama di luar rantau ini khususnya Australia bagi meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan penggunaan domestik, kata Pengerusi Pengasas Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF), Nordin Abdullah.

Beliau menegaskan pendekatan ini penting bagi memperkukuh daya tahan rantau ini terhadap cabaran pada masa hadapan termasuk perubahan dasar secara mendadak di pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

"Strategi pelengkap yang mempertimbangkan gangguan kuasa besar global bermakna ekonomi yang lebih kecil bukan sahaja perlu bertahan tetapi berkembang maju walaupun berdepan dengan krisis yang sentiasa berubah-ubah.

"Australia sebagai satu lagi kuasa sederhana merupakan rakan yang tepat bagi usaha ini," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Nordin menekankan kedudukan strategik Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang penting khususnya bagi syarikat yang ingin mewujudkan kemudahan pengeluaran bernilai tinggi.

Katanya, dengan akses ke Lautan Pasifik dan Lautan Hindi serta sambungan daratan ke Asia dan Eropah, negara ini berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong rantaian bekalan yang berdaya tahan.

"Ini akan menjadi penting bagi syarikat yang ingin memastikan rantaian bekalan yang berdaya tahan untuk komponen kritikal atau produk siap," katanya.

Beliau juga berkata penurunan dalam pelaburan langsung asing (FDI) Australia di Asia Tenggara yang menyusut kepada 2.9 peratus pada 2022 daripada 6.3 peratus pada 2017, memberi amaran iaitu aliran ini boleh melemahkan kestabilan ekonomi serantau.

"Ia merupakan satu isu kepentingan strategik apabila pesaing global berusaha untuk mewujudkan rantaian bekalan dan pusat keuntungan di rantau ini," katanya.

Mengikut sejarahnya, ASEAN dan Australia membina hubungan yang kukuh berdasarkan kepentingan bersama, kepercayaan dan kerjasama diplomatik.

Australia menjadi Rakan Dialog pertama ASEAN pada 1974, Rakan Strategik Komprehensif pada 2021 dan melaksanakan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) pada 2010.

"Australia mengambil langkah awal dengan cara yang bermakna iaitu melalui perjanjian rangka kerja yang menyediakan asas untuk kerjasama pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Nordin menekankan ASEAN perlu mengutamakan pembasmian kemiskinan dalam agenda ekonomi mereka dengan menyelaraskan dasar bagi memastikan rantau ini kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju, menyerap cabaran masa depan selain memastikan pertumbuhan jangka panjang.

"Keterjaminan tenaga disertai dengan keterjaminan makanan merupakan bidang penting yang perlu diberi perhatian jika ini menjadi kenyataan," katanya.

Semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne pada Mac tahun lepas, para pemimpin menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin Bersama ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne yang menggariskan kerjasama selama 50 tahun bagi memupuk rantau yang terbuka, terangkum dan telus dengan ASEAN sebagai terasnya.

Australia berjanji untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala dengan ASEAN bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

Sebagai pengerusi bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan inisiatif bagi melaksanakan cadangan utama daripada 'Invested: Southeast Asia Economic Strategy to 2040,' sebuah pelan tindakan untuk penglibatan ekonomi jangka panjang Australia dengan rantau ini.

Ini termasuk Kemudahan Pembiayaan Pelaburan Asia Tenggara bernilai A$2 bilion untuk merangsang pelaburan Australia dalam sektor kritikal seperti infrastruktur dan tenaga bersih. (A$1 = RM2.78).

Australia juga melanjutkan inisiatif kerjasama untuk infrastrukturnya bagi menyokong pembangunan infrastruktur serantau selain menarik lebih kepelbagaian, pembiayaan berkualiti tinggi sekali gus memperkukuh komitmennya untuk mengukuhkan hubungan ekonomi serta memupuk pertumbuhan mampan di ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan