PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Industri jualan langsung negara mencatatkan peningkatan sebanyak 7.4 peratus iaitu RM34.4 bilion pada 2024 berbanding RM32.04 bilion pada tahun sebelumnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata berdasarkan laporan dikeluarkan World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA) industri jualan langsung Malaysia berjaya mengekalkan pencapaian di kedudukan keenam dunia dan keempat Asia Pasifik dari 2020 hingga 2024.
“Malaysia juga telah diiktiraf sebagai negara yang mencatatkan penembusan pasaran tertinggi (No.1) di peringkat global dengan jumlah peratusan 2.28 peratus.
“Pengiktirafan ini berjaya mengangkat industri jualan langsung Malaysia ke tahap yang setara dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China, dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena program penyampaian Lesen Jualan Langsung kepada 45 syarikat iaitu 18 syarikat lesen baharu dan 27 syarikat lesen pembaharuan, hari ini.
Fuziah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berperanan dan bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung melalui Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500).
Menurutnya, seiring dengan perkembangan industri jualan langsung di Malaysia dan global, beliau berkata KPDN sedang meminda akta tersebut secara komprehensif.
“Penambahbaikan akta ini adalah bagi menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran pada masa ini. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan ekosistem industri jualan langsung yang lebih menyeluruh, mapan, holistik dan menggalakkan amalan perniagaan yang beretika.
“Ini merupakan manifestasi dan komitmen KPDN dalam usaha membangun dan mengembangkan industri jualan langsung di negara ini sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui konsep Malaysia MADANI untuk memperkukuh kemakmuran negara agar dapat dikongsi secara adil, saksama dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Fuziah berkata KPDN komited untuk memastikan semua syarikat jualan langsung mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Justeru, melalui pemberian lesen jualan langsung ini, diharapkan agar semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, kejujuran, dan memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi.
“Kerajaan kekal optimis bahawa industri jualan langsung akan cemerlang dan berkembang secara holistik di samping mampu mewujudkan peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat, serta memberi impak positif melalui sumbangan kepada pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial