EKONOMI > BERITA

MALAYSIA KAJI UNJURAN PERTUMBUHAN EKONOMI SUSULAN PENERIMAGUNAAN SNA 2025

11/03/2025 02:58 PM

 

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Malaysia dijangka menghalusi unjuran pertumbuhan ekonomi susulan penerimagunaan Sistem Akaun Negara 2025 (SNA 2025) bagi meningkatkan ketepatan dan rangka kerja statistik yang lebih komprehensif, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata semakan itu menggambarkan kemajuan ketara dalam kaedah pengukuran ekonomi, memastikan akaun negara kekal relevan dalam landskap ekonomi yang berkembang pesat.

“DOSM mengiktiraf penerimagunaan SNA 2025, satu pencapaian dalam statistik ekonomi global.

“Semakan yang diketuai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi perangkaan antarabangsa, menggambarkan kemajuan ketara dalam kaedah pengukuran ekonomi, memastikan akaun negara kekal relevan dalam landskap ekonomi yang berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DOSM mewakili Malaysia dalam sesi ke-56 Suruhanjaya Statistik PBB (UN56SC) baru-baru ini yang berlangsung di New York pada 4-7 Mac.

Mohd Uzir berkata dengan mengambilkira sektor yang baharu muncul seperti ekonomi digital dan metrik kemampanan, SNA 2025 akan membolehkan pengukuran yang lebih tepat bagi aktiviti yang semakin penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti e-dagang, perkhidmatan digital dan inisiatif hijau.

Di samping itu, Malaysia dengan ekonomi yang dipacu eksportnya dan menyumbang hampir 80 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mendapat manfaat ketara daripada tumpuan SNA 2025 terhadap globalisasi dan perdagangan rentas sempadan.

“Pengemaskinian ini akan membolehkan penggubal dasar mengenal pasti pemacu pertumbuhan baharu dan merangka strategi untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh.

“Penerimagunaan SNA 2025 adalah pengubah keadaan untuk Malaysia.

“Ia menyelaraskan statistik ekonomi negara dengan piawaian global, membolehkan penyusunan melangkaui KDNK dengan lebih baik seperti kesejahteraan dan kemampanan serta sektor-sektor baharu muncul seperti pendigitalan dan globalisasi sambil memupuk keyakinan pelabur,” katanya.

Katanya, pengemaskinian tersebut amat tepat pada masanya kerana Malaysia meneruskan trajektorinya ke arah negara berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata SNA 2025 dilaksanakan selari dengan pengemaskinian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Edisi Ketujuh bagi memastikan konsistensi dalam statistik makroekonomi dan meningkatkan keselarasan akaun negara dan antarabangsa.

Antara perubahan utama yang dilaksanakan dalam SNA 2025 ialah kesejahteraan, kemampanan, globalisasi, pendigitalan dan isu kewangan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan