EKONOMI > BERITA

MEUFTA: EU, MALAYSIA AKAN MULAKAN SEMULA RUNDINGAN PERDAGANGAN SEBELUM MUSIM PANAS

11/03/2025 05:30 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

 

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan rundingan pusingan pertama untuk menyambung semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) akan diadakan sebelum musim panas atau pada separuh kedua 2025.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah untuk Asia dan Pasifik Niclas Kvarnström berkata kedua-dua pihak, EU dan Malaysia kini sedang mempertingkatkan persediaan mereka untuk rundingan berkenaan. 

"Rundingan perdagangan Malaysia-EU yang diadakan semula adalah sangat penting dalam konteks ketegangan geopolitik semasa yang menjejaskan aliran perdagangan dan rantaian bekalan di seluruh dunia.

"EU menyasarkan untuk membangunkan kerjasama perdagangan dengan rakan kongsi yang dipercayai yang mempunyai nilai-nilai asas dan kepentingan bersama," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabat Delegasi EU di sini hari ini.

Kvarnström kini sedang dalam lawatan dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Pada Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden Suruhanjaya Eropah (EC) Ursula von der Leyen di Brussels, di mana kedua-dua pemimpin itu mengumumkan untuk menyambung semula rundingan MEUFTA.

Perbincangan mengenai perjanjian itu bermula pada 2010 tetapi terhenti pada 2012 ekoran kebimbangan Malaysia terhadap dasar perolehan minyak sawit EU, subsidi, dan klausa kelestarian.

Malaysia menyebut berlakunya diskriminasi terhadap minyak sawit, terutamanya dakwaan yang berkaitan dengan pembakaran terbuka dan buruh paksa.

Kvarnström berkata EU dan Malaysia berkongsi komitmen terhadap tatacara antarabangsa yang berasaskan peraturan, keterbukaan ekonomi, pembangunan mampan, dan kestabilan serantau.

Beliau berkata apa jua yang dibincangkan dan dipersetujui pada 2012 kini sudah ketinggalan.

"Dunia telah berubah dengan ketara, bukan sahaja daripada perspektif geopolitik tetapi juga dari segi teknologi, inovasi, rantaian nilai, dan cabaran alam sekitar.

"Sehubungan itu, kami (EU dan Malaysia) perlu bermula semula dari awal," kata Kvarnström.

Kvarnström berkata Malaysia juga berkembang dan berada di landasan yang baik untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan profil ekonomi yang telah berubah.

Beliau berkata walaupun Malaysia terus bergantung kepada sumber mineral dan semula jadi, negara itu juga telah membina asas perindustrian yang kukuh, termasuk sektor-sektor inovatif.

Mengenai angka perdagangan EU-Malaysia, Kvarnström berkata perdagangan dua hala dalam barangan berjumlah 44.7 bilion euro pada 2023 (1 euro = RM4.80).

EU mengimport barangan bernilai 29.1 bilion euro dari Malaysia, manakala eksportnya ke Malaysia berjumlah 15.6 bilion euro, menjadikan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak 13.5 bilion euro.

Perdagangan dalam perkhidmatan berjumlah hampir 11 bilion euro pada 2022.

EU juga merupakan sumber kedua terbesar bagi pelaburan langsung asing Malaysia, dengan jumlah yang direkodkan sebanyak 31.6 bilion euro pada 2023.

Perdagangan dua hala didominasi oleh produk-produk industri, terutamanya jentera dan peralatan, yang menyumbang lebih 90 peratus daripada aliran perdagangan. Jentera dan peralatan sahaja menyumbang 62 peratus daripada keseluruhan import EU dari Malaysia dan lebih 46 peratus eksport EU.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan