EKONOMI > BERITA

IILM SELESAI TERBIT SEMULA SUKUK JANGKA PENDEK US$1.21 BILION

11/03/2025 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) menyelesaikan terbitan semula sukuk jangka pendek dengan agregat US$1.21 bilion (US$1=RM4.41) melibatkan tiga tempoh berbeza masing-masing satu, tiga dan enam bulan.

Tiga siri itu telah ditetapkan pada harga kompetitif iaitu 4.40 peratus untuk US$350 juta bagi tempoh sebulan; 4.40 peratus bagi US$550 juta untuk tempoh tiga bulan dan 4.35 peratus bagi US$310 juta untuk tempoh enam bulan.

Dalam kenyataan pada Isnin, perbadanan itu menjelaskan transaksi jangka masa pendek itu menandakan lelongan keempat setakat ini bagi 2025, dengan terbitan terkumpul US$4.24 bilion meliputi 11 siri sukuk dengan tempoh yang berbeza.

Lelongan itu menyaksikan bidaan kompetitif dalam kalangan peniaga utama dan pelabur di peringkat global, dengan senarai tempahan beli dan jual berdasarkan paras harga adalah kukuh dengan US$2.813 bilion, mewakili nisbah bidaan kepada perlindungan purata yang memberangsangkan iaitu 232.5 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata terbitan sukuk itu mengesahkan semula komitmen pihaknya untuk menyokong kestabilan dalam pasaran kewangan Islam.

Beliau berkata permintaan tinggi menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan dan semakin meningkat terhadap instrumen jangka pendek IILM yang diberi penarafan ‘A-1’ dan ‘F1’.

“IILM kekal komited untuk menerbitkan dan menawarkan peningkatan jumlah sukuk secara konsisten, sekurang-kurangnya sekali sebulan khususnya untuk memenuhi keperluan pelabur Islam yang semakin meningkat, disokong oleh kumpulan peniaga utama global yang prolifik,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Terbitan itu merupakan sebahagian daripada program terbitan sukuk jangka pendek ‘A-1’ (S&P) dan ‘F1’ (Fitch Ratings) IILM bernilai US$6 bilion.

Keseluruhan sukuk IILM terkumpul kini berjumlah US$4.19 bilion.

Sukuk jangka pendek IILM diedarkan oleh rangkaian utama yang pelbagai dan berkembang di seluruh dunia iaitu Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Golden Global Investment Bank, Kuwait Finance House, Kuwait International Bank, Maybank Islamic Bhd, Meethaq Islamic Banking daripada Bank Muscat, Qatar Islamic Bank dan Standard Chartered Bank.

IILM ialah penerbit lazim bagi sukuk jangka pendek merentas pelbagai tempoh dan nilai untuk memenuhi keperluan mudah tunai institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.

Perbadanan itu akan terus menerbitkan semula instrumen mudah tunai jangka pendek setiap bulan seperti yang dijadualkan dalam kalendar penerbitannya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan