KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Prospek bagi pelaburan infrastruktur pusat data di Malaysia kekal teguh dan dijangka meningkat pada suku akan datang walaupun berdepan cabaran luaran, kata CIMB Securities Sdn Bhd.
Menurutnya walaupun kemunculan model kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka DeepSeek dan perubahan dalam dasar cip AI Amerika Syarikat (AS) mungkin mendorong semakan semula jangka pendek, kedudukan Malaysia yang kaya dengan sumber dan pendirian diplomatik yang seimbang meletakkannya sebagai hab pusat data berdaya saing dan pemain utama dalam perjalanan AI global.
“Kami belum melihat sebarang isyarat yang jelas mengenai pengurangan pelaburan AI yang ketara oleh syarikat teknologi utama walaupun wujud penyedia AI kos rendah seperti DeepSeek dan pelaksanaan peraturan mengenai penyebaran atau penggunaan AI di AS.
“Quartz melaporkan bahawa Meta, Microsoft, Google dan Amazon mungkin membelanjakan US$320 bilion bagi pembangunan dan infrastruktur AI pada 2025,” kata CIMB Securities dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurutnya peningkatan aktiviti pembelian tanah menunjukkan bahawa projek pusat data semakin berkembang di Malaysia.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, usaha Malaysia untuk menarik pelaburan pusat data berskala besar selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi kuasa digital serantau.
Ekonomi digital negara dijangka menyumbang sebanyak 26 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12.
“Oleh itu, kami menjangkakan permintaan untuk infrastruktur AI dan digital akan berkembang bagi menyokong transformasi digital Malaysia,” katanya.
Menurut Laporan Penyelidikan Pusat Data Knight Frank 2024, Malaysia mempunyai 61 pusat data yang akan dibina dengan kapasiti IT keseluruhan sebanyak 1,313 megawatt (MW).
“Berdasarkan perbelanjaan modal pusat data yang dijangka berjumlah US$6 juta setiap MW, kami menganggarkan projek-projek ini boleh menghasilkan peluang pembinaan sehingga RM35 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial