EKONOMI > BERITA

UEM LESTRA BEKERJASAMA DENGAN ACWA POWER MAJUKAN KEMUDAHAN IWPP DI MALAYSIA

12/03/2025 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh dan sayap industri hijau UEM Group Bhd, UEM Lestra Bhd (UEM Lestra) bekerjasama dengan ACWA Power dari Arab Saudi untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan bersama-sama membangunkan loji penjanaan tenaga dan air bebas (IWPP) boleh baharu di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Lestra Harman Faiz Habib Muhamad berkata kerjasama ini menandakan inisiatif penting ke arah menyediakan bekalan air dan tenaga gred industri yang mampan di Malaysia.

"Sekiranya dilaksanakan nanti ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) terutamanya dalam sektor pembuatan dan pusat data ke dalam negara.

"Kami komited untuk berkerjasama dengan ACWA Power bagi memastikan loji dan kemudahan ini dapat dibangunkan dengan jayanya, yang bukan sahaja akan menangani permintaan sumber air oleh industri yang kian meningkat tetapi juga selari dengan sasaran tenaga boleh baharu Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan dan Pembangunan Thomas Brostrom berkata kerjasama dengan UEM Lestra merupakan cerminan komitmen mereka ke arah menyediakan penyelesaian air dan tenaga mampan.

"Dengan memanfaatkan kepakaran global ACWA Power dalam infrastruktur tenaga boleh baharu dan teknologi terkini seperti osmosis songsang air laut (SWRO), kita dapat membantu memenuhi keperluan air bagi industri di Malaysia di samping menyumbang ke arah pembangunan infrastuktur hijau negara," katanya.

Beliau berkata kerjasama ini menyokong sasaran kelestarian Malaysia, menarik pelaburan asing dan meletakkan penanda aras baharu bagi utiliti yang lebih inovatif dan kalis masa hadapan.

Perjanjian kerjasama strategik berkenaan dimeterai hari ini oleh UEM Lestra yang diwakili oleh Harman Faiz dan Ketua Pegawai Pembangunan, Rashidi Hazrin Harun. Sementara itu, ACWA Power diwakili oleh Brostrom dan CEO syarikat itu di Malaysia, Mathew Chandapillai.

 Di bawah perjanjian ini, ACWA Power akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama UEM Lestra di samping meneroka pembangunan kemudahan IWPP boleh baharu dan menggunakan teknologi SWRO di negara ini.

Menurut kenyataan itu, kajian kebolehlaksanaan ini dijangka mengambil masa selama enam hingga 12 bulan dan antara lain akan merangkumi loji penyahgaraman yang mampu menghasilkan sekitar 200,000 ke 400,000 meter kubik air sehari bagi kegunaan industri.

Kajian ini juga akan menjurus ke arah melengkapi kemudahan IWPP ini dengan sama ada penyelesaian turbin gas kitaran gabungan (CCGT), ladang solar berskala besar (di atas darat atau terapung) yang dilengkapi dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), atau gabungan kedua-duanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan