EKONOMI > BERITA

CRITICAL HOLDINGS RAIH DUA KONTRAK BERNILAI RM84.71 JUTA

12/03/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Critical Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Critical M&E Engineering Sdn Bhd meraih dua kontrak yang keseluruhannya bernilai RM84.71 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kontrak pertama yang bernilai RM63.61 juta, diperoleh pada 8 Mac, 2025 untuk memasang pendingin hawa dan pengudaraan mekanikal, bilik bersih, utiliti proses, dan sistem automasi bangunan untuk sebuah kilang super berpusat.

"Kilang yang akan dibina untuk menyokong pengeluaran peralatan fabrikasi wafer di Taman Teknologi Bandar Cassia Batu Kawan, Prai, Pulau Pinang, untuk sebuah syarikat multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat," katanya.

Kontrak kedua pula diraih pada 10 Mac, 2025 bagi memasang pendingin hawa dan sistem pengudaraan mekanikal untuk pusat data di Cyberjaya bagi salah satu syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia bernilai RM21.10 juta.

"Kerja-kerja bagi kontrak berkenaan telah dimulakan dan masing-masing dijangka siap pada 9 Januari, 2026, dan 19 Oktober, 2025.

"Kontrak-kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Critical Holdings untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 dan 30 Jun, 2026," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Critical Holdings Tan Si Lim berkata kejayaan meraih kontrak itu mencerminkan kepakaran industri  syarikat yang kukuh dan keupayaannya untuk menyampaikan penyelesaian kejuruteraan yang kompleks bagi projek-projek bernilai tinggi.

"Kepercayaan yang diberikan kepada kami oleh kedua-dua pemimpin industri antarabangsa dan tempatan itu merupakan bukti kepada keupayaan teknikal dan kecemerlangan operasi kami.

"Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan kami di Pulau Pinang sambil kami terus mencipta kemajuan di kawasan tengah Semenanjung Malaysia, yang sejajar dengan rancangan pertumbuhan kami," katanya.

Menurut kenyataan itu, dengan kontrak terbaharu berkenaan, nilai perolehan kontrak Critical Holdings berjumlah kira-kira RM280 juta, mengukuhkan lagi trajektori pertumbuhan dan keterlihatan pendapatannya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan