KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Catcha Digital Bhd memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam DS Services Sdn Bhd (Digital Symphony) dengan nilai RM22.95 juta secara tunai.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini Catcha Digital berkata pertimbangan tunai tersebut akan dibayar dalam tiga kali ansuran sepanjang 24 bulan selepas selesai transaksi jual beli saham tersebut.
Dengan pembayaran itu, ia dijangka mencapai keuntungan bersih sebanyak RM4.5 juta untuk 12 bulan pertama dan RM4.5 juta lagi pada tahun kedua.
Ditubuhkan pada 2017 oleh Kuhan Kumar Digital Symphony khusus dalam pemasaran prestasi, memanfaatkan automasi, analisis data, dan penyelesaian perisian khusus untuk membantu jenama mencapai matlamat pengiklanan digital mereka.
“Catcha Digital dan anak-anak syarikatnya akan dapat menawarkan penyelesaian pemasaran prestasi dipacu oleh data Digital Symphony kepada pelanggan mereka, sementara Digital Symphony pula dapat memanfaatkan ekosistem media digital Catcha Digital yang luas dan capaian yang lebih besar untuk memperkukuhkan tawaran mereka.
“Sinergi yang dipacu oleh data ini dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan kedua-dua entiti, memberikan pengiklan pendekatan yang lebih pintar dan berfokus pada hasil dalam pemasaran digital,” katanya.
Pengerusi Catcha Digital Patrick Grove berkata syarikat itu sedang memperkukuhkan penggunaan data, automasi, dan pembelajaran mesin untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih baik bagi pengiklan melalui pengambilalihan ini.
“Gabungan pemasaran prestasi berasaskan hasil Digital Symphony dan capaian yang meluas daripada Catcha Digital akan menjadi satu perubahan besar bagi jenama yang ingin mengembangkan kehadiran digital mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial